Saturday 10 March 2018

Manifesto PH tiada kejujuran, kata Abdul Karim


KOTA SAMARAHAN: Tiada kejujuran dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau memberitahu, manifesto PH itu sekadar janji kosong yang tidak mempunyai hala tuju yang telus.

“Saya boleh katakan manifesto PH ini tiada kejujuran dan terumbang-ambing terutamanya dalam memperjuangkan hak Sarawak.

“Kalau kita lihat dalam Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen dan rakan-rakan mereka menyuarakan sokongan dengan apa yang kerajaan negeri lakukan dalam memperjuangkan hak Sarawak, tetapi apabila di luar mereka mengatakan sebaliknya, inilah mereka tiada pendirian dan hala tuju,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penangguhan Bengkel Gendang Melayu Sarawak di Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak (IPGTAR) di sini, semalam.

Malah, Abdul Karim yang juga Naib Presiden PBB menegaskan, usaha yang telah dan sedang dilakukan kerajaan ne-geri dalam memperjuangkan hak Sarawak yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut membuahkan hasil serta perkembangan positif.

“Akan ada lebih banyak berita gembira buat Sarawak nanti dan segala usaha yang sedang kita usahakan ini kian terserlah hasilnya.

“Pada Julai nanti, kita akan lihat perkembangan yang lebih jelas dalam perkara ini,” tambahnya.

Kelmarin, PH melancarkan manifesto mereka untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang turut menggariskan lima teras merangkumi 60 janji mereka sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

Lima teras itu ialah meringankan bebanan kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran politik, merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dan membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Manifesto bertemakan ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’ itu dilancarkan secara bersama oleh Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment