Friday 15 April 2016

Larang masuk Sarawak dilaksana secara saksama

April 15, 2016

KUCHING: Larangan masuk ke atas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos memasuki Sarawak membuktikan kerajaan negeri melaksanakan undang-undang larangan masuk ke negeri ini secara saksama.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kerajaan negeri melaksanakan larangan tersebut kepada mana-mana individu yang dianggap boleh menggugat ketenteraman dan kesejahteraan sedia ada di sini.

Katanya kerajaan negeri juga mempunyai cara tersendiri untuk menyiasat latar belakang seseorang individu itu.

“Seandainya individu yang mahu datang ke Sarawak dikenal pasti sebagai seseorang yang ‘tidak sesuai’ yang boleh menggugat keharmonian di sini (Sarawak), tidak kira mereka adalah penyokong Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang, maka kehadiran mereka akan disekat.

“Saya percaya ini perlu dilakukan agar perpaduan kaum di negeri ini tidak digugat oleh mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Jelasnya, amat sukar bagi kerajaan untuk membina perpaduan dan kesejahteraan rakyat negeri ini dan sudah pasti kita tidak mahu melihat ia dirosakkan dalam sekelip mata oleh mereka yang langsung tidak mempunyai rasa cinta kepada negeri ini.

Difahamkan, Jamal yang juga pengerusi Gabungan NGO Malaysia datang bersama beberapa ahli daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), diarah pulang ke ibu negara serta-merta sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Sementara itu, menurut AMT PBB Datuk Idris Buang, larangan masuk individu atau mana-mana pihak ke negeri ini merupakan hak mutlak rakyat Sarawak.

Katanya larangan tersebut jelas termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang imigresen khususnya melibatkan hak urus tadbirnya.

“Ini (sekatan) langsung tidak boleh dipertikaikan. Terdapat akta yang memperuntukkan hak untuk menghalang sesiapa sahaja, tidak kira individu mahupun pihak tanpa mengira latar belakang fahaman politik.

“Seandainya mereka didapati mempunyai ciri-ciri yang boleh menggugat perasaan serta keharmonian rakyat negeri ini, kehadiran mereka perlu dihalang dan disekat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu bahawa Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen tidak seharusnya mempertikaikan dasar sekatan tersebut sedangkan parti itu berasal dari Semenanjung Malaysia.

“Pihak (DAP) itu berasal dari Semenanjung Malaysia dan ada antara ahlinya yang boleh menggugat perasaan dan keharmonian kaum di sini sama seperti Jamal.

“Chong sendiri membawa roh perjuangan DAP Semenanjung Malaysia dan dia tidak ada pendirian kukuh serta mutlak untuk menyuarakan hak Sarawak selagi perjuangannya itu berlandaskan roh perjuangan dari sana (Semenanjung Malaysia),” jelasnya.
  

No comments:

Post a Comment