Wednesday, 22 October 2014

Sektor pertanian mampu jana pendapatan lumayan


MIRI: Peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kabuloh SABERKAS mampu menjana pendapatan bulanan menjangkau lima angka jika pengeluaran hasil konsisten.

Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendapatan sedemikian mampu diraih jika petani rajin berusaha.

“Kerajaan telah menyediakan tanah, kemudahan baja dan sebagainya kepada petani dan jika mereka konsisten mengeluarkan hasil tanaman makanan maka tidak mustahil mereka meraih pendapatan lumayan,” katanya di sini semalam.

Abdul Karim memberitahu, kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang bersesuaian bagi keselesaan petani. 

“Sebab itu, kita percaya bahawa sektor pertanian mampu menjana pendapatan lumayan namun bergantung kepada tahap pengeluaran petani setiap bulan.

“Jika mereka rajin berusaha dan sentiasa konsisten dalam pengeluaran tanaman makanan komersil maka, ia akan menarik orang lain turut sama menceburi bidang pertanian,” katanya.

Tambahnya, TKPM juga sebenarnya mampu membantu meningkatkan pendapatan bersih usahawan tani melebihi RM54,000 setahun (RM4,500 sebulan).

Dalam perkembangan lain, projek TKPM Kabuloh bermula sejak 2009 dengan keluasan 160 hektar manakala bagi fasa kedua melibatkan jumlah seluas 220 hektar. Peserta yang menyertai projek fasa kedua itu pula dijangka masuk pada Disember depan dan perancangan masa depan TKPM diperluaskan di seluruh Sarawak.

Sementara itu, antara usahawan petani yang telah meraih pendapatan bulanan lumayan ialah Abidin Laudin, Chai Chon Chun, Hariwan Gani, Kho Chui Hua dan Mak Ah Kit.

Pendapatan bulanan petani terbabit diharapkan menjadi pencetus semangat kepada peserta lain untuk mengeluarkan hasil tanaman makanan secara konsisten.
 

No comments:

Post a Comment