Thursday, 9 October 2014

Karim gesa PDRM dan FAS peka perkembangan penyokong di laman sosial


KOTA SAMARAHAN: Pihak yang bertanggungjawab terhadap perlawanan bola sepak skuad negeri tidak boleh lalai lagi dalam menguruskan kawalan keselamatan di stadium agar tidak berulangnya kejadian rusuhan penyokong.

Menegaskan perkara tersebut, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata polis dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) amnya harus melakukan persiapan yang lebih rapi di dalam aspek keselamatan pada masa akan datang.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa tetapi saya rasa berlaku kelonggaran terhadap cara mengawal serta mengawasi keadaan keselamatan ketika itu,” katanya berhubung kejadian rusuhan penyokong di stadium yang lepas sehingga memusnahkan harta benda stadium dan juga kenderaan polis.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pengagihan daging korban di Wisma Persekutuan Samarahan di sini, semalam.

Selain itu, Karim berkata FAS dan polis khususnya juga harus peka terhadap perkembangan penyokong bola sepak menerusi laman sosial seperti facebook dan juga blog.

Jelas beliau, kejadian rusuhan penyokong yang lepas merupakan susulan daripada ketegangan penyokong Sarawak di Ipoh semasa menyaksikan perlawanan pasukan negeri menentang tuan rumah, Perak dan ia sudah pun tersebar di laman facebook.

Tanpa disedari, katanya disebabkan momentum balas demdam yang membara di kalangan penyokong Sarawak, ia telah menjadi faktor utama bagi rusuhan tersebut.

“Ada penyokong yang datang mungkin sudah merancang atau berniat untuk membuat kekecohan bagi membalas dendam ke atas apa yang berlaku di Perak.

“Kepada FAS, polis atau pihak yang mengawasi perlawanan pada masa akan datang, mereka harus sedikit sebanyak memantau perkembangan penyokong di laman sosial dan membuat persiapan yang perlu bagi menghadapi sesuatu kemungkinan yang tidak dijangka,” katanya.

Pada Selasa lepas, dua adik-beradik kembar berusia 17 tahun yang ditahan kerana terlibat di dalam rusuhan tersebut telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini.

Bagaimanapun, hukuman belum lagi diputuskan di mana hakim Portia Tham Ong Leng menetapkan 20 Oktober untuk mendengar laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum meluluskan penghakiman ke atas kedua-dua remaja tersebut.

Adik-beradik tersebut bersama tiga lagi yang lain telah didakwa di bawah Seksyen 151, Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Karim berharap agar kejadian sedemikian tidak berulang lagi.

“Apa-apa tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap pesalah akan dijadikan sebagai satu pengajaran kepada kita semua pada masa akan datang agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment