Pages

Tuesday, 14 October 2014

Bantuan kepada Allahyarham Bujang Taha akan dibincang, kata Karim


KUCHING: Menteri Muda Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan berbincang dengan kabinet negeri mengenai bentuk bantuan yang bakal diberikan kepada keluarga pemenang gelaran Mr Asia sebanyak empat kali Allahyarham Bujang Taha.

Beliau secara peribadi melihat sukar untuk mencari individu seperti Allahyarham Bujang Taha yang sangat berjaya dalam arena bina badan sehingga mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.

“Semua sedia maklum, Allahyarham (Bujang Taha) merupakan seorang yang sangat berjaya dalam bidangnya dan sukar untuk mencari penggantinya.

“Secara peribadi dan bagi pihak kerajaan negeri… saya merakamkan ucapan tahziah buat keluarga Allahyarham.

“Kabinet negeri akan berbincang bentuk bantuan yang akan diberikan kepada keluarga Allahyarham,” katanya kepada pemberita ditemui di rumah Allahyarham Bujang Taha di Kampung Tanjong, di sini pagi semalam.

Allahyarham Bujang Taha menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 10.47 malam kelmarin akibat komplikasi kanser mulut, paru-paru dan asma.

Abdul Karim menyifatkan pemergian Allahyarham Bujang Taha sebagai kehilangan besar buat Sarawak dan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata Allahyarham Bujang Taha bukan individu yang meminta-minta terutamanya dalam bentuk imbuhan.

“Allahyarham (Bujang Taha) tidak pernah meminta- minta daripada kerajaan termasuk elaun dan ini yang menyedihkan saya.

“Saya memang berniat untuk memohon kepada Ketua Menteri agar keluarga Allahyarham mendapat elaun bulanan. Saya berharap kerajaan negeri dapat memberi pertimbangan,” katanya.

Sumbangan Allahyarham Bujang Taha amat banyak dan pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada Sarawak.

“Belum ada atlet bina badan sekarang setanding dengan beliau,” jelasnya.
  

No comments:

Post a Comment