Wednesday, 8 October 2014

500 unit rumah teres di Taman Gong belum diduduki


ASAJAYA: Terletak jauh dari pusat bandar menyebabkan sejumlah 500 unit rumah teres di Taman Gong, Kilometer 30 Jalan Kuching-Serian masih belum diduduki.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, taman perumahan di bawah Skim Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) itu tidak mempunyai masalah struktur atau sewa tinggi.

Permasalahan yang timbul menurutnya adalah sikap pemohon yang ditawarkan enggan berpindah ke kawasan pinggir bandar menyebabkan rumah-rumah terbabit kosong walaupun telah siap dua tahun lepas.

“Di bawah skim ini (RPR), pemohon dari kawasan setinggan diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah.

“Namun setelah ditawarkan, mereka menolak atas alasan kediaman jauh dari tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengagihan daging korban kepada 423 orang di sini, semalam.

Menurut Karim, pemohon hanya dikehendaki membayar sewa sebanyak RM150 sebulan.

Sehubungan itu katanya, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) akan menawarkan rumah terbabit kepada pemohon yang telah menunggu lama.

Tambahnya, perkara tersebut bukan isu lama kerana setiap projek perumahan kos rendah yang dimajukan kerajaan akan berdepan masalah.

“Masalah biasanya berlaku disebabkan kehendak dan keperlukan pemohon yang berbeza-beza,” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, setakat September hampir 100 rumah di taman perumahan itu sudah mula didiami.
  

No comments:

Post a Comment