Tanggapan Karen Sheperd bahawa pemimpin BN terlepas sesuatu daripada perhimpunan BERSIH 4 adalah silap
KUCHING: Jurucakap perhimpunan BERSIH 4, Karen Sheperd tidak mengikuti pembangunan politik dan kemajuan di negeri ini, kata Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Malah menurut Karim yang merupakan Menteri Muda Belia (Bandar) dan Menteri Muda Perumahan, Karen adalah silap atas tanggapan bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) terlepas sesuatu daripada perhimpunan itu.
“Jika Karen berpendapat bahawa pemimpin BN tidak menyokong kerajaan yang bersih maka beliau adalah silap dan tidak mengikuti pembangunan politik dan kemajuan negeri.
“Pemimpin BN tidak menyertai perhimpunan di Padang Song Kheng Hai itu kerana BN Negeri terutama Ketua Menteri kita dan pentadbirannya adalah cemerlang.
“Jadi, mengapa kita perlukan perubahan atau reformasi dalam negara ketika kita telah mempunyainya sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Karen sebelum ini berkata, pemimpin BN terlepas banyak peluang atas ketidak-hadiran mereka pada perhimpunan BERSIH 4, 29 Ogos lepas bermula jam 2 petang hingga tengah malam.
Mereka menurut Karen, bukan sahaja terlepas peluang untuk berjumpa dengan rakyat Sarawak dan lebih penting tidak mendengar mesej yang disampaikan oleh rakyat.
Mengulas mengenai tindakan penganjur menghentikan lebih awal perhimpunan itu, Karim berkata ia adalah antara jawatankuasa penganjur dan peserta perhimpunan itu sendiri.
“Saya difahamkan bahawa penganjur menghentikan lebih awal perhimpunan disebabkan tindakan pemimpin DAP yang menjadikan perhimpunan tersebut sebagai perhimpunan DAP.
“Tindakan pemimpin dan penyokong DAP ini adalah bertentangan dengan rancangan asal serta tema perhimpunan yang mahukan pemerintahan kerajaan yang bersih dan telus. “Sebaliknya apa yang dilakukan oleh DAP adalah menghentam kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment