Wednesday, 2 September 2015

1,000 motosikal berkuasa tinggi bingitkan Kuching

September 2, 2015



CUBA TUNGGANG: Karim (duduk atas motosikal) bersama tetamu kehormat lain selepas menyaksikan pertunjukan penunggang aksi profesional, Aaron Twite di City One Megamall, semalam.

‘Kuching International Bike Week 2015’ himpunkan penunggang luar negara dan Borneo pada 3-6 Sept

KUCHING: Lebih 1,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari luar negara dan Kepulauan Borneo akan berkampung di bandar raya ini sempena ‘Kuching International Bike Week 2015’ yang akan berlangsung pada 3 hingga 6 September ini.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang acara berkenaan berlangsung.

“Orang ramai dialu-alukan mengunjungi Kuching International Bike Week 2015 yang akan diadakan di pusat beli-belah City One Megamall,” katanya pada sidang media ‘Kuching International Bike Week 2015’ di City One Megamall di sini, semalam.


Bermula 4 September, Karim berkata kira-kira 200 VIB (Very Important Biker) yang kebanyakannya dari luar Sarawak akan berkonvoi ke perkampungan Bidayuh di Jalan Puncak Borneo, Kampung Bunuk.

Pada sebelah petang, katanya semua ‘bikers’ serta pengunjung acara akan berkumpul di tingkat atas City One Megamall untuk menyaksikan konsert pembukaan yang menampilkan Papa Rock Malaysia – Singapura Datuk Ramli Sarip dan pemain gitar terkenal negara Man Kidal.

Acara rasmi Kuching International Bike Week 2015 adalah pada 5 September di mana ia bakal menyaksikan perarakan motosikal berkuasa tinggi yang besar di bandar raya ini dengan upacara pelepasan akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Kira-kira 1,000 motosikal berkuasa tinggi dijangka berarak di sekitar bandar raya ini sebelum meneruskan perjalanan ke Damai Central, Santubong dan di sana mereka akan disambut oleh Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

“Para peserta juga akan disambut dengan tarian kebudayaan, jamuan dan pesta makan durian,” katanya.

Beliau menambah, bagi pengunjung di City One pula, mereka berpeluang menyaksikan pertunjukan aksi penunggang profesional, Aaron Twite selain acara sampingan lain seperti ‘Battle Of The Band’, ‘Street Dance Battle’, ‘Mr Fitness’, ‘Miss Kuching International Bike Week’ dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Karim berkata acara kemuncak ‘Kuching International Bike Week 2015’ adalah majlis makan malam di Hotel Imperial yang akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Dalam pada itu, Karim berkata ‘Kuching International Bike Week 2015’ kemudian diteruskan pada 6 September bermula jam 10 pagi sehingga 7 malam di mana beliau sendiri akan menyempurnakan majlis penutupannya.

Pada masa sama, majlis juga akan menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang ‘Miss Kuching International Bike Week’, ‘Street Dance Battle’ dan ‘Battle Of The Bands’.

‘Kuching International Bike Week 2015’ adalah dianjurkan oleh Iron Tiger Bikers Club Kuching dengan penaungnya ialah isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

No comments:

Post a Comment