KUCHING: Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yakin pelaksanaan sektor perumahan di negeri ini akan bertambah baik sekiranya lebih kuasa autonomi diserahkan kepada Sarawak.
Beliau memberitahu penyerahan lebih kuasa itu akan membolekan kerajaan negeri melaksanakan projek perumahan yang mampu dimiliki oleh rakyat secara menyeluruh dan berkesan.
“Kita ada Ordinan Perumahan dan Unit Perancangan Negeri yang bukannya di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan perkara ini telah menyukarkan kita untuk menyampaikan pelaksanaan projek perumahan di negeri ini.
“Oleh itu, saya yakin dengan penyerahan lebih kuasa autonomi dalam sektor perumahan Sarawak akan dapat melaksanakan projek perumahan yang mampu dimiliki khususnya di luar bandar dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Sehari Mesyuarat Kedua bagi penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 di sini semalam.
Pada masa sama, Abang Johari berkata selain melancarkan pembangunan sektor perumahan, penyerahan kuasa itu juga dapat membolehkan kerajaan negeri membangunkan kawasan luar bandar dengan cara yang lebih efektif dan cepat.
“Tanpa perlu menunggu kelulusan daripada kerajaan persekutuan kita sendiri dapat melaksanakannya yang pastinya menjimatkan masa dan kos,” tambahnya.
“Sudah tentu penekanan adalah lebih kepada pembangunan infrastruktur terutamanya di kawasan luar bandar untuk memastikan transformasi dapat dilaksanakan dan ia amat komprehensif dan strategik,” katanya.
Manakala Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut menyifatkan pelan RMK11 Sarawak adalah usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan yang mampan dapat dilaksanakan di seluruh kawasan di negeri ini.
“Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai perancangan lima tahun sendiri yang menunjukkan negeri Sarawak berlainan dari negeri lain.
“Apa yang telah dibentangkan oleh Ketua Menteri adalah menyeluruh sekali merujuk kepada rancangan kerajaan untuk membangunkan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang mengikut apa yang tersedia dalam RMK11,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment