Monday 31 August 2015

Perubahan tak akan berlaku tanpa sumbangan daripada pemimpin dulu

Ogos 31, 2015



SADONG JAYA: Menteri Muda Perumahan dan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan beliau akan merasa nostalgia setiap kali melawati kampung-kampung yang berada dalam kawasan Sadong Jaya.

Menurutnya perasan tersebut timbul disebabkan karier politiknya bermula di Sadong Jaya.

"Kalau bukan disebabkan Sadong Jaya, saya mungkin tidak akan berdiri dihadapan anda semua sekarang.

Saya memulakan karier politik di Sadong Jaya ... dalam tahun 90'an sebagai Ketua Pemuda PBB Sadong Jaya selama 10 tahun," katanya ketika merasmikan Majlis Penangguhan Perhimpunan Belia Bersama Pemimpin N20 Sadong Jaya di Kampung Semera semalam.

Beliau kemudiannya berkata berbanding dengan masa dahulu, telah banyak perubahan yang telah dialami oleh kawasan Sadong Jaya.

"Walau bagaimanapun proses perubahan tidak akan berlaku dengan sendirinya tanpa sumbangan daripada pemimpin-pemimpin masa dulu," ujar beliau, sambil menambah melalui kerjasama diantara pemimpin-pemimpin dan sokongan daripada rakyat, kawasan Sadong Jaya telah mengalami proses perubahan yang membanggakan.

Abdul Karim turut berkata walaupun tahap pembangunan di Sadong Jaya amat berbeza dari dahulu, para pemimpin masyarakat tidak alpa dan sedang tekun merancang pelan-pelan pembangunan yang seterusnya.



Beliau kemudiannya memuji ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo diatas komitmen dalam membawa perubahan positif dalam kawasan Sadong Jaya.

Beliau berkata keakraban diantara wakil rakyat dan penduduk kawasan telah banyak membantu proses pembangunan dilaksanakan dengan mudah.

Menteri Muda Perumahan dan Belia kemudiannya menyeru belia di kawasan Sadong Jaya agar bersama-sama dengan barisan kepemimpinan sekarang agar wujud kesinambungan kepimpinan untuk meneruskan proses pembangunan.

Abdul Karim kemudiannya berkata hubungan yang erat dengan pemimpin masa kini adalah penting kerana belia bakal mengambil alih kepimpinan di masa depan.

Bahkan, tegas beliau lagi, nasib atau masa depan sesuatu masyarakat secara kasarnya dapat dinilai dengan melihat keadaan belia di masa kini.

Atas alasan ini, Abdul Karim menyeru barisan kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di akar umbi agar sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan belia bagi membolehkan belia turut sama dalam proses pembangunan.

"Kita perlu bawa belia bersama-sama dengan PBB ... kerana ia adalah payung bumiputera di Sarawak.

"Telah banyak perubahan berlaku di kawasan Sadong Jaya dan kawasan-kawasan lain.

"Atas dasar itu, kita mesti usahakan agar parti yang telah banyak membawa kebaikkan akan mempunyai kesinambungan dalam kepimpinan di peringkat kawasan," kata Menteri Muda Perumahan dan Belia.

Beliau turut melahirkan harapannya agar barisan kepimpinan dalam Pergerakan Pemuda PBB, Pergerakan Wanita PBB dan rakyat di Sadong Jaya akan bersama-sama dengan barisan kepimpinan kawasan dan pihak pentadbiran tempatan dalam membangunkan kawasan.

Beliau juga menggesa belia di kawasan Sadong Jaya agar tidak terpedaya dengan usaha pihak pembangkang untuk memecahbelah perpaduan dan merosakkan keharmonian di kalangan rakyat dengan cuba menolak tarikh 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan Malaysia.

Menurut Abdul Karim, Malaysia bukannya satu-satu negara di dunia ini yang mana wilayah-wilayah ataupun negeri-negeri yang bergabung membentuk negara mempunyai tarikh kemerdekaan yang berbeza antara satu sama lain.

Beliau berkata tarikh 31 Ogos hanyalah tarikh simbolik kepada kemerdekaan sepertimana yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Sarawak ketika membentuk Malaysia.

"Di Amerika Syarikat, semua 52 negeri yang membentuk negara tersebut bersetuju untuk menerima tarikh 04 Julai sebagai tarikh kemerdekaan untuk semua," kata beliau, sambil menambah Amerika Syarikat akan berpecah sekiranya kesemua 52 negeri mahukan tarikh yang berbeza untuk meraikan kemerdekaan.

"Kita akui 16 September sebagai tarikh penubuhan Malaysia tetapi pada masa yang sama tarikh 31 Ogos telah ditetapkan  sebagai tarikh rasmi kemerdekaan Malaysia," kata Abdul Karim ...sambil menambah yang lebih penting daripada polemik tarikh kemerdekaan ialah pembangunan yang dinikmati dan perpaduan yang erat dikalangan rakyat.

Turut hadir ialah ADUN Sadong Jaya Ir. Aidel Lariwoo dan Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli bin Senusi.




No comments:

Post a Comment