Sarawak bakal jadi tumpuan antarabangsa menerusi penganjuran Tour of Sarawak 2016
BAKAL MENGGEGAR: (Duduk dari kiri) Mawan, Karim dan Fadzli pada sidang media Tour of Sarawak 2016 semalam. |
KUCHING: Sarawak bakal menjadi hab perlumbaan berbasikal bertaraf dunia susulan penganjuran Kejohanan Berbasikal Antarabangsa Tour of Sarawak 2016 (ToS2016) yang akan diadakan di sini dari 13 hingga 17 Januari 2016.
Perlumbaan ala Le Tour de Langkawi itu dianjur dengan ker jasama Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak, Kementerian Pelancongan Sarawak, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Fadz Industries Sdn Bhd.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perlumbaan bertema ‘Sport Tourism is the Next Big Thing’ itu julung kali diadakan di Sarawak di mana ia meliputi jarak sejauh 765km merentasi beberapa bandar utama negeri ini.
“Perlumbaan ini akan diadakan secara berperingkat selama lima hari bermula di bandar raya Miri dan berakhir di Kuching.
“Ia berkonsepkan Tour de Langkawi atau Tour de France dan menjadi perlumbaan berbasikal terbesar pernah dianjur di Sarawak,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur semalam.
Hadir sama Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan dan Pengarah Projek Fadz Industries Mohd Fadzli Mat Yusof.
Menurut Karim, perlumbaan tersebut akan membantu meletakkan Sarawak di peta dunia berikutan kehadiran ramai pelumba malah media asing semasa temasya tersebut berlangsung kelak.
“Ini akan merancakkan industri pelancongan sukan negeri dan membantu membawa pulangan ekonomi yang lumayan.”
Karim yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (PBNS) yakin perlumbaan itu akan mendapat sambutan menggalakkan kerana ia diiktiraf oleh Union Cycliste Internationale (UCI), badan induk yang mengawasi aktiviti perlumbaan antarabangsa dunia.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan acara tersebut dalam kalendar tahunan negeri.
Sementara itu, William memuji inisiatif penganjuran perlumbaan bertaraf antarabangsa tersebut sambil optimis ia akan menjadi pemangkin dalam merancakkan industri pelancongan Sarawak.
Pada masa sama, Mawan percaya penganjuran perlumbaan tersebut akan berjalan dengan lancar dan menjadi kejayaan besar untuk Sarawak.
Hanya pasukan yang mempunyai ranking UCI 2.2 layak untuk menyertai perlumbaan tersebut di mana ia terhad kepada 20 pasukan sahaja iaitu 16 pasukan luar dan empat pasukan tempatan.
Pendaftaran akan mula dibuka pada September ini.
Empat kategori akan dipertandingkan iaitu Yellow Jersey untuk juara keseluruhan, Raja Bukit, pecut dan Pelumba Malaysia Terbaik bagi merebut jersi Ketua Menteri.
Hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM200,000 bakal menanti para pemenang.
No comments:
Post a Comment