Friday 21 August 2015

Perbezaan politik bukan alasan untuk abai perpaduan


Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
bersalam-salaman dengan ahli-ahli
Kumpulan Hadrah Kampung Serpan Laut
ASAJAYA: Perbezaan ideologi politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan perpaduan dikalangan masyarakat kampung.

Menteri Muda Perumahan dan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan perpaduan adalah penting bagi memastikan proses perancangan dan perlaksanaan pembangunan kampung dapat dilakukan dengan baik.

"Jika kita sentiasa bersatu dan rapat ... dan jika ada masalah, ... kita akan dapat selesaikan masalah tersebut dengan cara yang baik," katanya ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Serpan Laut semalam.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
bersalam-salaman dengan ahli-ahli
Kumpulan Hadrah Kampung Serpan Laut
Atas sebab itu, ujar beliau lagi, penduduk Kampung Serpan Laut hendaklah berhati-hati ketika menerima kunjungan orang luar yang mungkin datang atas tujuan untuk memburuk-burukkan Barisan Nasional dan kerajaan ketika musim pilihanraya nanti.

"Mungkin mereka akan masuk ke Kampung Serpan Laut dan kampung-kampung yang lain.

"Ada yang datang dengan tujuan yang baik ... bertanya apa yang diperlukan.

"Tetapi ramai yang datang dengan tujuan untuk memburuk-burukkan Barisan Nasional dan kerajaan," katanya.

Abdul Karim, yang juga ADUN Asajaya, menggesa penduduk Kampung Serpan Laut agar bersifat terbuka untuk memudahkan penerimaan pembaharuan yang positif di kampung.

Si kecil bersalaman dengan Datuk Abdul
Karim Rahman Hamzah
Beliau menegaskan perubahan yang positif hanya akan berjaya dilaksanakan di Kampung Serpan Laut dan mana-mana kampung di kawasan Asajaya sekiranya penduduk-penduduk kampung berupaya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku diperingkat global, nasional ataupun tempatan.

Abdul Karim menambah dalam konteks perubahan yang semakin mencabar, ibu bapa hendaklah memberi penekanan yang serius terhadap aspek pendidikan anak-anak mereka.

Beliau berkata beliau enggan melihat anak-anak yang tinggal di luar bandar ketinggalan dalam pendidikan berbanding dengan anak-anak yang tinggal di bandar.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
bersalam-salaman dengan ahli-ahli
Kumpulan Hadrah Kampung Serpan Laut
"Kita perlu melakukan pelaburan dalam ilmu pengetahuan ... untuk melahirkan insan yang mampu berubah mengikut perubahan di masa depan," katanya.

Sebelum menamatkan ucapannya, ADUN Asajaya telah membuat pengumuman untuk memberi bantuan bagi tujuan menyediakan meja-meja bulat untuk kegunaan dalam majlis-majlis.

Beliau juga mengumumkan akan memberi sebuah mesin pemotong rumput kepada Sekolah Kebangsaan Serpan.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan disebelah malam Khamis dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Serpan Laut bersama-sama Ranting PBB, Pergerakan Pemuda PBB dan Pergerakan Wanita PBB Kampung Serpan Laut.
  




























No comments:

Post a Comment