Thursday 6 August 2015

Jambatan Batang Sadong sudah hampir siap: Karim

August 6, 2015




ASAJAYA: Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan Jambatan Batang Sadong hampir siap dan Batang Samarahan siap dalam tempoh satu setengah tahun lagi.

Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya menjelaskan dengan jambatan itu nanti, perjalanan dari Samarahan disingkatkan dan ekonomi penduduk dapat ditingkatkan.

“Dengan jambatan ini, perjalanan dahulunya mengambil masa satu jam dapat disingkatkan iaitu kira-kira 30 minit sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bahagian Samarahan 2015 di Kompleks Sukan Asajaya yang di hadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Sehubungan itu, Abdul Karim berharap penduduk di situ dapat berdiri teguh dengan Barisan Nasional.

“Seperti kawasan lain, harapan saya agar masyarakat di sini agar dapat berdiri teguh di bawah kepimpinan Ketua Menteri,” katanya.

Tambahnya, pelbagai perubahan beliau dapat bawa kepada masyarakat negeri ini.


“Perubahan ketara dapat kita rasai semasa beliau memegang tampuk kepimpinan negeri ini.

“Apa berlaku di Semenajung tidak akan menggugat Barisan Nasional (BN) di Sarawak kerana kepimpinan dan apa yang dibawa oleh Ketua Menteri dalam jangka masa lebih satu tahun ini sangat mantap dan cukup baik sekali,” jelasnya.

Mengambil contoh kajian terhadap Adenan berjumlah 74 peratus, jelasnya tiada lagi kedengaran di sini.

“Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah tidak kedengaran lagi. Dan sokongan daripada kajian terhadap Ketua Menteri cukup tinggi sekali iaitu 74 peratus.

“Oleh itu kita berharap masyarakat perlu memastikan sokongan serta memberikan mandat besar sekali kepada Ketua Menteri pada pilihan raya nanti,” tegasnya Samarahan merupakan kubu kuat BN sejak dahulu.

Turut disampaikan pada majlis tersebut Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi & TOL untuk Skim Pembesaran Kampung kepada salah seorang penerima daripada 347 penerima.

“Proses penyukatan tanah akan diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya meminta masyarakat bersabar.

Kata Abdul Karim lagi, Kawasan Asajaya merupakan kawasan yang dipercayai paling banyak sekali Kampung Pembesaran.

Sebagai mana kita tahu, di sini terdapat tiga empat keluarga berhimpit dalam satu rumah justeru itu dibuat Kampung Pembesaran.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan kawasan Asajaya , saya percaya paling banyak pembesaran kampung yang dibuat oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Dengan ini, ramai keluarga di sini tidak perlu berhijrah ke bandar raya Kuching untuk bekerja. Pergi ke Kuching pada waktu pagi dan petang balik.

“Dan ekoran daripada itu, suasana kampung kita terjaga dan dengan adanya jambatan itu nanti sedikit sebanyak memudahkan masyarakat di sini yang bekerja di bandar setiap hari,” jelasnya.

Dalam ucapan aluannya, Abdul Karim turut mengucapkan terima kasih atas kelulusan peruntukan bagi pembinaan trek larian terletak di sebelah kompleks tersebut untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di situ.

Bercerita pada majlis tersebut, turut diserahkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada tiga Pusat Dalam Komuniti (PDK) Asajaya.

Selain jamuan turut diadakan persembahan kebudayaan dan ia turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Dua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan kenamaan lain serta kira-kira 2,000 masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment