KUCHING: Musim perayaan adalah masa berkumpul bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, tetapi juga rakan-rakan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kunjungan beliau ke rumah terbuka anjuran Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen adalah atas dasar sebagai rakan.
“Ada masa untuk kita menyambut perayaan bersama seperti ini, ada juga masa untuk berpolitik. Sebenarnya sekarang adalah masa untuk kita berkumpul dan tiada sempadan.
“Saya berasa seronok dapat berkunjung bersama rakan seperti YB Chong walaupun beliau berada di bangku (Dewan Undangan Negeri) pembangkang tetapi kami rakan karib, tiada politik,” katanya ketika ditemui pemberita semasa rumah terbuka TBC Chong di sini, kelmarin.
Karim memberitahu beliau berasa gembira dapat berkunjung bersama rakan seperti Chong semasa musim perayaan dan seronok dapat berbual dengan Chong serta bapanya, Chong Siew Chiang yang juga Pengasas DAP Sarawak.
Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, sememangnya mereka mempunyai ideologi politik yang berbeza namun ia tidak bermakna mereka bermusuh.
Sementara itu, Chong ketika ditemui berkata, Karim tetap rakannya walaupun mempunyai perbezaan dari segi politik masing-masing.
“Kami mungkin mendukung ideologi politi yang berbeza tetapi kami tetap rakan sejak saya berada di dalam DUN.
“Beliau adalah seorang yang baik,” kata Chong.
Kehadiran Karim di rumah terbuka itu turut menjadi kejutan kepada pengunjung lain dan tidak menjangkakan lawatan beliau itu kerana Karim dan Chong dikenali antara yang sering ‘bertikam lidah’ sama ada melalui media atau semasa persidangan DUN.
Rumah terbuka Chong itu turut dihadiri ahli-ahli DAP lain, termasuk Naib Pengerusi DAP Sarawak Leon Jimat Donald, Pengerusi DAP Tasik Biru Mordi Bimol dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment