PENANTIAN BERAKHIR: Projek pembinaan Jambatan Batang Samarahan kini bermula dan dijangka siap Januari 2018. |
KUCHING: Penantian lebih 14 tahun penduduk Bahagian Samarahan berakhir apabila pelaksanaan projek jambatan di Batang Samarahan yang ditunggu-tunggu kini bermula.
Majlis pecah tanah pembinaan Jambatan Batang Samarahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di tapak pembinaan, Kampung Baru, Kota Samarahan dekat sini semalam.
Menurut Adenan, pembinaan jambatan itu sudah pastinya akan membawa banyak perubahan dari segi ekonomi dan sosial rakyat di kawasan berkenaan.
“Kerajaan Sarawak yakin pelaksanaan Jambatan Batang Samarahan ini apabila siap kelak bakal memberi impak besar dari segi sosial dan ekonomi kepada pembangunan di bahagian ini. “Malah, jambatan ini bakal memanfaatkan kira-kira 270,000 penduduk di Bahagian Samarahan bagi menghubungkan Kota Samarahan dengan Asajaya dan Sadong Jaya,” katanya menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Jabu pada majlis itu.
Beliau memberitahu, masalah perkhidmatan feri yang dialami penduduk di situ kerana hanya disediakan mengikut pasang surut air akan dapat diatasi seterusnya menjimatkan masa perjalanan.
“Selain itu, masalah pengangkutan terutamanya penghantaran bahan mentah atau industri tidak lagi terganggu,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai projek itu, Adenan menjelaskan tempoh pembinaan jambatan berkenaan adalah selama 36 bulan dan dijangka siap Januari 2018 dengan kos bernilai RM93.88 juta.
Justeru, beliau berharap syarikat kontraktor yang telah dipilih untuk melaksanakan projek jambatan itu dapat memastikan ia dibina dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya berkata, jambatan itu direka bentuk mengikut piawaian terkini Britain iaitu BS5400.
Jelasnya, jambatan sepanjang 774 meter itu akan menyediakan dua lorong dua hala, laluan pejalan kaki dan jalan tuju sepanjang tiga kilometer yang menghubungkan jambatan ke jalan raya berdekatan.
Lokasi Jambatan Batang Samarahan di utara Kampung Tambey, sejajar dengan Lebuh Raya Samarahan.
Sementara itu, Menteri Muda Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah melahirkan rasa gembira dengan pelaksanaan pembinaan jambatan tersebut.
“Ia sememangnya projek yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk di sekitar Kota Samarahan dan Asajaya ini kerana ia memudahkan lagi perhubungan di dua daerah ini.
“Saya amat yakin dengan siapnya jambatan ini bakal mengubah landskap dan ekonomi pembangunan di Bahagian Samarahan ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment