Wednesday 25 February 2015

Hapuskan dadah siber

February 25, 2015

PERANGI DADAH: Abdul Karim (dua kiri) menerima dokumen terima tugas daripada Sharifah Mordiah pada majlis tersebut.

KUCHING: Media sosial seperti Facebook (FB) didapati sebagai saluran terbaharu untuk menjual dan membeli dadah di Sarawak.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kegiatan yang menyalahgunakan teknologi itu perlu dibanteras sebelum semakin parah dan menular dalam kalangan masyarakat.

“Kita mendapati ada indiividu yang menggunakan FB sebagai saluran menjual dan mendapatkan dadah.

“Tetapi setakat ini, ia belum di tahap bermaharajalela lagi kerana polis memantau rapi kegiatan tersebut,” ujarnya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini, semalam.

Majlis itu menyaksikan Abdul Karim tampil sebagai Pengerusi PEMADAM Sarawak baharu bagi menggantikan Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi yang telah menyandang jawatan itu hampir 30 tahun.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Lucas Aket dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Wan Madihi Wan Salleh.

Abdul Karim turut menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti haram itu agar menghubungi pihak berkuasa.

“Maklumat daripada orang awam memang penting untuk membantu tugas membasmi dadah,” tegasnya.

Sementara itu, Abdul Karim turut menyuarakan pendapat agar undang-undang ke atas penyalahgunaan gam, Nospan dan Codine diwujudkan untuk membendung gejala itu.

“Masalah ini perlu dipandang serius memandangkan barang-barang itu yang terdapat di pasaran perlu dikawal kerana rata-rata pengguna bermula dengannya sebelum beralih kepada dadah berat,” katanya.

Pil Nospan bagaimanapun hanya boleh diperolehi daripada farmasi sekiranya mempunyai surat dari doktor, jelasnya.

“Kita bukan menuding jari, tetapi belum ada undang-undang diperuntukkan khas untuk menangani isu ini dan ia perlu dikemuka dan seterusnya dibentangkan di kabinet,” katanya.

Sementara itu, Lucas memberitahu, tangkapan dadah pada tahun lepas menyaksikan peningkatan apabila sebanyak 5,237 kes direkodkan berbanding 4,248 tangkapan pada 2013.

“Trend juga berubah apabila ‘designer drug’ (dadah sintetik) seperti syabu, ekstasi dan Eramin 5 lebih popular berbanding dadah tradisional (heroin dan ganja),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, secara keseluruhan kes penyalahgunaan dadah di negeri ini masih terkawal.

“Malah statistik seluruh negara turut menyaksikan kita berada di tangga ketiga terbawah meskipun saiz negeri ini lebih besar berbanding negeri lain,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment