Thursday 8 January 2015

Kritikan Chong terhadap SPR terus mendapat kutukan BN


KUCHING: Kritikan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mengumumkan 11 kerusi DUN baharu terus mendapat kutukan daripada Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau amat kecewa terhadap kata-kata Chong yang mengatakan lebih baik SPR memohon sahaja menyertai BN.

Karim menegaskan kenyataan Chong dan DAP menyindir SPR untuk menyertai BN adalah tidak wajar, di mana 11 kerusi berkenaan cuma dicadangkan sahaja dan notis turut dibuat secara umum.

“Jika Chong boleh ingat, kerusi Kota Sentosa dimenangi oleh Chong selepas ia diwujudkan… SPR yang sama diamanahkan untuk membuat persempadanan ketika itu dan jika benar SPR mahu memastikan BN menang, Chong dan DAP tidak akan duduk dalam DUN sekarang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia menegaskan kerusi tersebut adalah kerusi baharu dan tidak ada siapa yang dapat menjamin sama ada BN atau pembangkang yang akan memenanginya.

“Bagaimanakah Chong boleh memikirkan bahawa semua kerusi baharu diwujudkan oleh SPR adalah untuk BN?

“Ini adalah satu kenyataan berniat jahat dan tidak wajar oleh wakil rakyat Kota Sentosa,” tegas ADUN Asajaya itu.

Kelmarin, DAP Sarawak mendakwa cadangan 11 kawasan DUN yang baharu melanggar prinsip asas iaitu satu pengundi, satu undi, satu nilai.

Chong menerusi satu kenyataan akhbar berkata SPR dengan terang-terangan tidak mempedulikan prinsip asas keadilan dalam persempadanan semula kawasan DUN.

“Lebih baik SPR memohon sahaja menyertai BN sebagai parti politik yang ke-14,” katanya.

Setiausaha PBB Cawangan Bengoh Jeguk Ngamo berkata dengan mewujudkan lebih banyak kerusi luar bandar, wakil rakyat memiliki kawasan yang lebih kecil untuk dijaga sekali gus meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada penduduk luar bandar.

“Tolong hormati pengundi luar bandar… penduduk bandar menikmati segalanya dari segi kemudahan asas seperti lampu jalan, khidmat memotong rumput, mencuci parit, jalan raya dan banyak lagi sedangkan di kawasan luar bandar, penduduk terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk menurap jalan atau membina jambatan,” katanya.

Menurutnya, walaupun bersetuju dengan Chong mengenai prinsip asas satu orang satu undi, keperluan asas bagi keadilan ialah semua orang mesti menikmati persekitaran sama yang disediakan oleh kerajaan di semua kawasan.

Beliau berkata DAP harus berterima kasih kepada SPR kerana persempadanan itu akan menghasilkan kawasan lebih kecil, seterusnya memanfaatkan program ‘Go Rural DAP’.

“Saya tidak rasa BN menghalang DAP daripada bertanding dalam semua kerusi luar bandar dengan jumlah pengundi paling kecil,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment