Wednesday, 7 January 2015

11 kerusi DUN baharu merangkumi masyarakat pelbagai etnik

January 7, 2015

TURUT SERTA: Karim dan Residen Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi mengetuai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Asajaya. -UtusanBorneo
ASAJAYA: Syor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu apabila dilaksanakan kelak akan merangkumi masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk ABdul karim Rahman Hamzah berkata, secara tidak langsung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili kawasan baharu itu dapat menyuarakan masalah rakyat secara lebih menyeluruh. 


"Ia merangkumi keseluruhan kawasan di Sarawak sama ada bandar, pinggir bandar atau luar bandar. "Selain itu, ia melibatkan kawasan yang didiami masyarakat pelbagai etnik," katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syor SPR mengenai 11 kerusi DUN baharu iaitu Batu Kitang (N.13), Stakan (N.17), Serumbu (N.18), Triboh (N.23), Gedong (N.26), Kabong (N.40), Tellian (N.57), Selirik (N.63), Murum (N.66), Samalaju (N.70) dan Long Lama (N.78). 

Bagaimanapun menurutnya, pembangkang awal-awal lagi menuduh syor tersebut apabila dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kekuatan Barisan Nasional (BN). 

"Kita memang tahu pembangkang tidak setuju kerana mereka menganggap ia memberi kekuatan kepada BN. "Belum pilihan raya lagi, bagaimana kita hendak tahu kita akan menang atau kalah," ujarnya. 

Karim yang juga ADUN Asajaya turut melahirkan rasa gembira kerana kawasan Parlimen Kota Samarahan turut terlibat dengan syor tersebut.
  
"Sebelum ini kita mempunyai dua kerusi DUN iaitu Asajaya dan Muara Tuang, tetapi satu lagi kerusi baharu dicadangkan iaitu Stakan. 

"Ini cadangan yang baik kerana Parlimen Kota Samarahan amat besar. 

"Dengan adanya kerusi baharu mudah untuk pembangunan dilaksanakan," jelasnya. 

Terdahulu Karim merasmikan perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Asajaya di Masjid An-Najah. 

Perarakan tersebut disertai 31 kontinjen yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. -UtusanBorneo


  

No comments:

Post a Comment