Sunday 11 January 2015

Contohi perpaduan berteraskan keadilan Islam

January 11, 2015

PERARAKAN: Abdul Rahim (depan kiri), Dr Annuar, Abdul Karim dan Sabarudin mengetuai perarakan sempena Maulidur Rasul di Dataran Sibu semalam.
Umat Islam kini terdedah dengan kecelaruan, serangan musuh sama ada secara terbuka atau halus

SIBU: Resipi perpaduan yang berteraskan keadilan Islam yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika era kerajaan Madinah patut dicontohi oleh umat Islam bagi mendepani isu global masa kini.

Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perpaduan masa kini amat penting bagi umat Islam kerana mudah terdedah dengan kecelaruan dan serangan musuh-musuh Islam sama ada secara terbuka mahupun secara halus.

“Kita sering terdedah isu seperti mendewa-dewakan kebebasan individu tanpa batas, gerakan cuba mengiktiraf perkahwinan sejenis, perkahwinan berlainan agama, isu murtad, ajaran sesat, gaya hidup LGBT merangkumi biseksual, transgender, gay, lesbian serta budaya songsang lain.


“Malah, gerakan liberalisme, pluralisme, ekstremis seperti IS semuanya adalah usaha menggugat kesucian Islam yang kita anuti,” katanya pada Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu 2014 di Dataran Sibu Fasa Satu di sini semalam.

Beliau menasihati seluruh warganegara Malaysia supaya perlu akur dengan kontrak sosial, latar belakang sejarah dan menjunjung perlembagaan negara menjadi kerangka perpaduan dalam membina ummah yang hebat, gagah dan kuat mampu memacu transformasi negara.

“Golongan muda harus membina diri sebagai modal insan dengan kekuatan spiritual dan jati diri kukuh agar usaha menempuhi cabaran global dapat dihadapi secara berhikmah dan berilmu,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini bahawa usaha pemantapan perpaduan dikemudi pemimpin peringkat tempatan adalah usaha murni mengangkat taraf kehidupan masyarakat di sini.
  

Justeru, beliau berkeyakinan sambutan Maulidur Rasul ini merupakan medan terbaik umat Islam memulakan transformasi menyatupadukan semula ummah di sini.

Sebanyak 58 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perarakan dan perhimpunan di Dataran Sibu.

Mengetuai perarakan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Mohammad, Panglima 9 Briged Sibu Brigedier Jeneral Abdul Rahim Sebeli, Pemangku Residen Sibu Sapiah Daud, Naib Canselor Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) Profesor Datuk Sabarudin Mohd, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.
  

No comments:

Post a Comment