KOTA SAMARAHAN: Pemupukan budaya kreativiti dan inovasi perlu diterap dalam kalangan generasi muda supaya dapat mengoptimakan potensi masing-masing ke arah pembangunan negara. Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Haji Abdul Karim Hamzah berkata ia adalah bertepatan dengan konsep 1Malaysia setiap anak Malaysia adalah modal insan berpotensi yang penting kepada sesebuah negara.
“Ia juga sejajar dengan hasrat yang mahukan perubahan dilakukan melalui inovasi secara menyeluruh bagi memacu ekonomi negara ke satu tahap lebih kukuh dan berdaya saing tinggi,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Minggu Inovasi dan Kreativiti serta Pelancaran Pertandingan Saintis Muda UiTM Sarawak “Best New Hybrid Orchid” di Dewan Jubli Universiti Teknologi Malaysia Sarawak (UiTM) di sini petang tadi.
Menurut beliau inovasi dan kreativiti merupakan fokus utama kerajaan dalam usaha menuju ke arah negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Beliau berkata bagi memastikan pembangunan yang inklusif kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi.
Beliau juga menegaskan inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan lapisan masyarakat di negara ini. “Kita perlu berfikir secara luar biasa untuk menyampaikan perkhidmatan lebih berkualiti dan menghasilkan produk yang dapat memberi persaingan sihat di peringkat antarabangsa sekaligus membawa nama negara di persada global,” katanya.
Karim juga berkata remaja sekarang ini lebih dilihat mampu untuk bersaing secara sihat dalam menghasilkan idea-idea yang kreatif dan berfikiran inovatif dalam mencetuskan hasil produk yang berkualiti. Beliau menambah kerajsama yang jitu dari semua pihak dapat merealisasikan penghasilan idea-idea dan produk kreatif dan inovatif di kalangan pelajar ataupun remaja.
Justeru katanya sumbangan yang diberikan dapat menjadi pemangkin kepada generasi akan datang dalam menghasilkan produk serta perkhidmatan lebih kreatif. Beliau berharap usaha murni seperti itu dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada para remaja dalam mengetengahkan idea-idea mereka diperingkat lebih tinggi.
Menurut Karim lagi kolaborasi yang konstruktif di antara institusi pengajian tinggi, komuniti, masyarakat awam dan pihak kerajaan amat penting bagi merealisasikan impian generasi baru yang berdaya saing dan kreatif. Di samping itu tambah beliau ia juga dapat melahirkan generasi baru yang berupaya untuk mencetuskan satu inovasi bagi meningkatkan martabat dan nama negara di mata dunia.
No comments:
Post a Comment