Tuesday 25 June 2013

Abang Johari terajui SABERKAS bagi penggal 2013-2016

June 25, 2013


PERKASA PEMBANGUNAN BELIA: Abang Johari bersama Aidan Wing mengadakan sidang media selepas
Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS di Kuching, kelmarin.


KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) mengekalkan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebagai presiden bagi penggal 2013-2016 menerusi Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, jawatan timbalan presiden diberikan kepada muka baharu iaitu Datuk Roland Sagah Wee Inn bagi menggantikan Dato Sri Douglas Uggah yang menarik diri atas sebab komitmen beliau dalam Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Naib presiden pula menyenaraikan Datuk Lee Kim Shin, Datuk Stephen Rundi, Abdul Karim Rahman Hamzah dan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Lee akan bertanggungjawab bagi komuniti Cina, Hasidah bagi kaum wanita manakala Karim dan Rundi masing-masing bertanggungjawab terhadap pembangunan belia bandar dan luar bandar.

Justeru, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan menyatakan harapan agar SABERKAS akan meneruskan usaha sebagai sebuah pertubuhan belia, di mana ia kini mempunyai dua pertiga ahli muda daripada keseluruhan ahli.

“Sasaran kita ialah untuk membantu kerajaan dan masyarakat belia mencapai arus perdana pembangunan menjelang tahun 2030.

“Kita menyediakan pemimpin pelapis yang berpengalaman kerana dalam tempoh 17 tahun akan datang, mereka akan mengambil alih kepimpinan yang lama.
  
“Dengan itu, mereka akan dapat meneruskan usaha pembangunan belia bersama pembangunan negeri dan negara,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di sini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata dalam sudut sosial dan ekonomi, SABERKAS mengambil pendirian untuk membantu usaha membangunkan luar bandar melalui SCORE, hab halal dan sektor-sektor yang berkepentingan kepada golongan belia khasnya dalam aspek pekerjaan.

“SABERKAS akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk sama-sama mengetahui peluang yang diwujudkan di Sarawak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata SABERKAS turut menumpukan untuk memantap serta memperkasakan pentadbiran menerusi teknologi maklumat.

Untuk itu, katanya kesemua 71 cawangan SABERKAS Negeri akan diberikan Komputer Riba 1Malaysia secara percuma sebagai kemudahan.

“Maka, apa sahaja maklumat mengenai aktiviti atau program daripada ibu pejabat atau oleh kerajaan akan dapat disalurkan kepada cawangan,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment