“Kejayaan ini tidak datang bergolek kerana ia menuntut komitmen jitu FAS dan pemain.” Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah
BERSEJARAH: Peminat bola sepak Sarawak tidak melepaskan peluang menyentuh piala Liga Premier 2013 yang dijulang Mohd Shahrol Saperi. — Gambar Muhammad Rais Sanusi |
KUCHING: Lebih 1,000 peminat membanjiri Padang Merdeka semalam untuk meraikan kejayaan pasukan bola sepak Sarawak menjuarai Liga Premier 2013.
Program meraikan kejayaan itu bermula dengan persembahan kelab penyo-kong yang menyanyikan beberapa lagu pencetus semangat pemain yang kebiasaannya berkumandang di Stadium Negeri.
Para pemain dan staf kejurulatihan kemudiannya membawa piala bersejarah itu berarak dari Jalan Tun Abdul Rahman ke Padang Merdeka.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman berkata, semangat baharu ditampilkan peminat bola sepak Sarawak dan berjaya meningkatkan semangat pemain untuk berjuang di padang.
“Penyokong Sarawak memang hebat dan memainkan peranan untuk mencetus semangat baharu kepada pemain bagi menampilkan prestasi lebih cemerlang,” katanya.
Menurutnya, kejayaan Sarawak merangkul kejuaraan itu bukan kebetulan kerana setiap pemain dan jurulatih berusaha keras untuk memperolehi kejayaan dalam perlawanan.
Tambahnya, sebelum liga bermula, FAS sudah menetapkan sasaran untuk menjuarai liga, layak ke Liga Super dan bermain tanpa kalah sepanjang saingan liga.
“Dua sasaran sudah kita capai, sasaran terakhir adalah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah,” ujarnya.
Sarawak akan bertemu Sabah di Stadium Likas pada 5 Julai yang merupakan perlawanan terkahir liga.
Dengan kejayaan itu, Sudarsono menetapkan sasaran baharu kepada skuad kendalian Robert Alberts agar menampilkan prestasi terbaik dalam saingan Piala Malaysia sekali gus menjuarai kejohanan berprestij itu.
Sementara itu, Menteri Muda Belia Abdul Karim Rahman Hamzah melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Sarawak merangkul kejuaraan liga selepas menanti 16 tahun.
“Tahun ini skuad bola sepak kita melakar sejarah apabila berjaya menjuarai liga.
“Kejayaan ini tidak datang bergolek kerana ia menuntut komitmen jitu FAS dan pemain,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
No comments:
Post a Comment