Pages

Tuesday, 8 January 2013

Anwar penabur janji manis

by Rusnan Mustafa.
Posted on January 8, 2013, Tuesday


Banyak janji ditabur kepada negeri di bawah pakatan pembangkang tidak ditunai

KUCHING: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang yang terkenal dengan penabur janji manis di Malaysia.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan bahawa banyak janji yang pernah ditabur oleh Anwar pada 16 September 2008 kepada negeri di bawah pemerintahan pakatan pembangkang tidak ditunaikan.

“Siapa tak kenal Anwar, putar belit dan pemberi janji manis paling terkenal di Malaysia… kalau nak tulis satu persatu janji beliau satu surat khabar tidak cukup,” tegasnya.

Oleh itu, Karim menasihati agar rakyat khususnya golongan belia tidak mudah terpengaruh dengan janji manis daripada individu yang tidak akan menunaikan janjinya.

Tambahnya, berjanji memang mudah tetapi menunaikannya susah dan jika Anwar dahulu sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerap datang ke Sarawak seperti hari ini, mungkin Sarawak sudah maju sejak dahulu lagi.

“Kita banyak ketinggalan kerana angkara Anwar semasa menjadi TPM dan sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan, beliau tidak memberi penekanan kepada pembangunan Sarawak.

“Peruntukan untuk membina UNIMAS pada masa itu disalurkan kepada negeri lain sehingga pembangunan UNIMAS pada masa itu tergendala sebentar dan hanya dapat dibangunkan selepas beliau tiada lagi memegang jawatan tersebut,” jelasnya.

Karim yang juga Menteri Perumahan dan ADUN Asajaya memberitahu, jalan raya pesisiran Sarawak turut tergendala angkara Anwar.

“Beliau sebenarnya tiada perasaan sayang kepada Sarawak kerana beliau hanya mahu undi kita saja kerana kegilaannya hendak menjadi Perdana Menteri (PM),” katanya.

Justeru, beliau amat yakin rakyat Sarawak khasnya tidak akan mudah termakan janji dan dakyah kosong pembangkang walaupun ditabur pelbagai janji manis.

“Rakyat Sarawak sudah jemu dan muak dengan janji serta muslihat beliau… insya-Allah rakyat Sarawak tidak akan terpengaruh dengan janji manis beliau,” ujarnya.
   

No comments:

Post a Comment