Sunday, 27 January 2013

Semangat terlalu ekstrem tegakkan isu agama, kaum dikhuatiri jejas perpaduan


KUCHING: Semangat yang terlalu ekstrem dalam menegakkan isu berkaitan agama dan kaum dikhuatiri menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini khasnya di Sarawak.

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah ekoran timbul pelbagai isu berkaitan dua perkara itu pada masa kini oleh individu tidak bertanggungjawab demi kepentingan sendiri.

Malah dedahnya, isu yang sengaja dibangkitkan oleh ‘orang import’ (pihak pembangkang) itu dilihat cuba mengapi-apikan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Saya amat sedih melihat ada segelintir ahli politik pembangkang sengaja menimbulkan isu yang sensitif terutama berkaitan agama dan kaum bagi menimbulkan perasaaan kurang senang antara sesama kita yang telah lama hidup dalam perpaduan walaupun berbilang bangsa.

“Ini yang amat kita khuatiri sehingga timbul rasa ekstrem untuk mempertahankan perkara berkenaan sehingga kita berpecah belah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Asajaya di Kompleks Sukan di sini semalam.

Disebabkan itu, Karim berkata tema Maulidur Rasul pada tahun ini ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ di mana nilai kesederhanaan menjadi tunjang utama perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Muda Perumahan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menasihat rakyat agar bijak menilai dan sentiasa berwaspada dengan dakyah individu tidak bertanggungjawab.

“Unsur mengapi-apikan yang dibawa oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab ini harus kita hindari bagi mengekalkan perpaduan yang kita kecapai hingga kini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap individu terutama pemimpin politik menghindari daripada sifat-sifat yang tidak bertanggungjawab itu demi mengekalkan kesatuan dan keamanan negara.

Hadir sama ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang dan tetamu kehormat lain.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.