Pages

Tuesday, 15 January 2013

Chong berbohong dengan tuduhan bajet perumahan awam Sarawak tidak mencukupi

January 15, 2013

PESAT MEMBANGUN: Antara projek perumahan yang dibangunkan di Sibu.
Perolehi bajet cukup dalam Belanjawan Negara 2013 menerusi perkongsian pintar

SIBU: Sarawak memperolehi bajet yang mencukupi bagi perumahan awam di bawah Belanjawan Negara 2013 menerusi perkongsian pintar antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dakwaan Setiausaha DAP Chong Chieng Jen bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai bajet cukup untuk tujuan pembangunan perumahan awam adalah tidak benar.

Katanya Sarawak mempunyai dasar yang tersendiri dengan sebahagian besar keluasan tanah dibangunkan oleh pemaju swasta di samping turut membangunkan rumah kos rendah.

“Sebahagian besar daripada bajet perumahan kerajaan negeri adalah daripada kerajaan persekutuan.

“Sarawak juga mendapat jumlah terbesar bagi perumahan awam di bawah Belanjawan Negara 2013.

“Kerajaan negeri akan menyumbang dalam beberapa bahagian termasuk menyediakan tanah bagi tujuan perumahan di samping mewujudkan perkongsian pintar di antara kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya di sini semalam.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, berkata pemain terbesar dalam industri perumahan adalah sektor swasta.

Katanya kerajaan hanya mengawal polisi menerusi agensi kerajaan berkaitan tetapi tidak terlibat dengan proses pembangunan perumahan.

Agensi berkenaan, jelas beliau akan bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing terutama dalam menyediakan perumahan awam.

“Ini kerana perumahan awam dibangunkan di bawah pelbagai kategori di samping disubsidikan oleh kerajaan agar menjadi mampu milik untuk kebanyakan golongan berpendapatan rendah,” jelasnya.

Antaranya ialah Rumah Mampu Milik, Rumah Mesra Rakyat, Rumah Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan sebagainya.

Di Sarawak katanya, juga mempunyai dasar di mana pemaju swasta yang membangunkan projek perumahan perlu menyediakan perumahan kos rendah terlebih dahulu di kawasan pembangunan mereka.

“Justeru, kerajaan tidak harus dipersalahkan kerana gagal mengawal harga rumah.

“Ini kerana harga rumah yang dibangunkan syarikat swasta ditentukan harga pasaran dan permintaan,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment