KUCHING: Syarikat swasta merupakan pihak yang memainkan peranan penting dalam membangunkan industri perumahan di negeri ini manakala pihak kerajaan pula bertanggungjawab mengawal industri tersebut di samping melibatkan diri melalui agensi-agensi berkaitan dengan menyediakan rumah-rumah yang mampu dimiliki sama ada untuk dibeli atau disewa.
Menurut Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah, projek-projek tersebut adalah termasuk Rumah Mampu Milik, Rumah Mesra Rakyat, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang merupakan bantuan daripada kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman.
“Bagi mendapatkan kelulusan sesuatu projek perumahan, syarikat perumahan swasta di Sarawak adalah bertanggungjawab untuk membina rumah-rumah kos rendah berhampiran projek perumahan utama mereka bergantung kepada saiz projek berkenaan,” jelasnya ketika ditanya mengenai kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen Ahad lepas.
Chong telah mendakwa beberapa pihak termasuk syarikat perumahan swasta yang berhubung kait dengan kerajaan bertanggungjawab dengan kenaikan harga rumah secara mendadak di Sarawak.
Chong membuat dakwaan tersebut setelah Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai membuat kenyataan mengenai kenaikan harga rumah sejak kebelakangan ini pada minggu lepas.
Karim menjelaskan bahawa peruntukan bagi perumahan rakyat datang daripada kerajaan persekutuan manakala kerajaan negeri menyumbang dari segi menyediakan tapak perumahan tersebut yang merupakan usaha sama yang bijak antara kedua-dua pihak.
“Adalah kurang tepat jika mengatakan pihak kerajaan tidak mengawal harga rumah-rumah tersebut kerana ini adalah bergantung kepada permintaan dan penawaran dan ini dibuktikan dengan rumah-rumah yang dibina yang hampir kesemuanya telah terjual.
Beliau turut berpesan kepada Chong supaya lebih memahami bidang ekonomi terutama sekali dalam industri perumhan serta usaha kerajaan sebelum membuat spekulasi mengenai kenaikan harga rumah sebegini.
No comments:
Post a Comment