Friday, 29 March 2019

Penggusti lengan terbaik dunia beraksi di Kuching pada April ini

March 29, 2019

Abdul Karim bersama (dari dua kanan) Stephen, Hii, Teng, Igor, Zil dan tetamu lain memperaga hadiah Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 Keempat selepas sidang media, hari ini.
KUCHING: Bandaraya Kuching bakal sesak dengan penggiat-penggiat gusti lengan dari seluruh dunia pada April depan yang akan mengambil bahagian dalam dua kejohanan antarabangsa.

Kejohanan pertama iaitu Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 Keempat akan berlangsung dari 5 dan 6 April di Premier 101 manakala kejohanan kedua Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa TOP-8 Vendetta akan berlangsung pada 5 April di Hotel Pullman Kuching.

"Saya gembira kerana Sarawak dipilih sebagai salah satu tuan rumah penganjuran kejohanan gusti lengan dunia ini.

"Difahamkan kejohanan TOP-8 Vendetta ini akan disertai lapan atlet yang merupakan penggusti lengan terbaik di dunia yang akan datang ke Kuching untuk bertanding sesama mereka bagi menentukan siapa yang terbaik," kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim selepas di Kuching, peserta akan bertanding di tempat penganjuran seterusnya dengan yang terakhir di Warsaw, Poland di mana ia menawarkan hadiah berjumlah 120,000 Euro atau kira-kira RM600,000.


"Saya juga difahamkan sejumlah 30 negara akan mengambil bahagian dalam Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101," katanya.

Menurut beliau, negara-negara yang akan mengambil bahagian seperti Rusia, Ukraine, Poland, Latvia, Uzbekistan, Kanada, Azerbaijan, Georgia, Syria, Filipina, Belarus, Sweden, Turki, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei, New Zealand, Australia, Hong Kong, China, Taiwan, Mesir, Kazakhstan, Jepun, Korea dan India.

Jelasnya, jumlah penyertaan yang besar itu membuktikan sukan gusti lengan cukup popular di seluruh dunia termasuk di Malaysia khususya di Sarawak.

Tambah Abdul Karim, perkembangan sukan gusti lengan secara mendadak di Sarawak banyak dibantu menerusi insiatif berterusan oleh Kelab Gusti Lengan Premier 101 diketuai Presidennya Stephen Kee dan Penasihat Kelab, Dato Sri Teng Chi Lik.

“Dalam tempoh tiga tahun, sukan gusti lengan di Sarawak telah dikenali di seluruh dunia dan ia memperlihatkan komitmen pihak penganjur Kelab Gusti Lengan Premier 101.

“Pada tahun keempat mereka berjaya membawa Kejohanan TOP-8 Vendetta ke sini yang turut disokong oleh kementerian saya,” katanya lagi.

Menurut Abdul Karim, Sarawak khususnya Kuching boleh berbangga kerana diberi penghormatan sebagai wakil pertama dari negara Asia menjadi tuan rumah kejohanan itu. 

Ini jelasnya akan membantu meletakkan Sarawak dalam peta sukan gusti lengan di seluruh dunia sekali gus melonjakkan sektor pelancongan sukan negeri ini.

Sementara itu, Presiden Liga Gusti Lengan Profesional (PAL), Igor Mazurenko merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak dan Kelab Gusti Lengan Premier 101 untuk memberi peluang kepada warga di Kuching menyaksikan lapan pullers terbaik di dunia beraksi.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Hii Chang Kee, Penasihat Kelab Gusti Lengan Premier 101 Dato Sri Teng Chi Lik, Presiden Kelab Gusti Lengan Premier 101 Stephen Kee, Pengurus Pemasaran & Komunikasi PAL Kirill Yakovler dan Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) Mohd Zil Fadli.

Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 Keempat menawarkan kira-kira RM71,500 (USD17,500) hadiah wang tunai dalam 10 kategori iaitu Lelaki Terbuka Lengan Kanan (75kg, 88kg, 95kg dan 95kg ke atas), Lelaki Terbuka Kidal (75kg, 90kg dan 90kg ke atas) dan Wanita Terbuka Lengan Kanan (60kg, 75kg dan 75kg ke atas).

No comments:

Post a Comment