Sunday, 17 March 2019

Imbangi masa antara sukan digital dan fizikal: Abdul Karim


MULA!: Abdul Karim (kanan), Snowdan dan Hii melepaskan peserta bagi kategori veteran lelaki dan wanita sempena Program Larian Belia Sarawak 2019 di Le’ Park Dewan Suarah Kuching semalam.
KUCHING: Minat melampau golongan muda masa kini terhadap permainan video membimbangkan kerana ia menyumbang kepada pembangunan fizikal yang tidak sihat.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, meskipun permainan video kini telah diterima sebagai salah satu bidang sukan, namun ia perlu seimbang dengan sukan fizikal.

“Disebabkan terlalu terdedah dengan permainan video, golongan muda dilihat lupa akan aspek pembangunan fizikal.

Visit Sarawak Campaign
“Kita berharap golongan muda dapat mengagihkan masa mereka dengan baik antara sukan digital dan sukan fizikal serta pelajaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Larian Belia Sarawak 2019 di Le’ Park Dewan Suarah Kuching di sini semalam.

Bercakap mengenai program tersebut, ia merupakan program tahunan kementerian berkenaan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia akan pentingnya amalan gaya hidup sihat dan cergas.

Di samping itu, program itu juga bertujuan memupuk semangat ke arah belia yang aktif, bertanggungjawab dan harmoni.

Dalam pada itu, seramai 1,268 peserta menyertai larian tersebut semalam yang dibahagi kepada empat kategori iaitu lelaki (7 km), wanita (5 km) dan kategori veteran lelaki dan wanita masing-masing 4 km.

Selain larian, pelbagai aktiviti sukan lain turut diadakan antaranya ‘street soccer,’ papan luncur, daki dinding serta sesi zumba sebelum pelepasan peserta tepat jam 7.30 pagi.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment