Tuesday, 5 June 2018

Karim sokong keputusan kerajaan


SIBU: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong keputusan kerajaan pusat menyiarkan siaran langsung Piala Dunia 2018, tetapi kos haruslah tidak ditanggung semua oleh kerajaan.

Beliau berpendapat bahawa kos penyiaran perlu ditaja oleh entiti swasta.

“Sukan Piala Dunia dan bola sepak mempunyai ramai peminat seluruh Malaysia. Selepas melalui banyak berita politik sejak kebelakangan ini, adalah baik untuk rakyat di negara ini dihiburkan dengan siaran Piala Dunia 2018 secara langsung.

“Saya menyokong keputusan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Gobind Singh Deo. Bagaimanapun, saya tidak menyokong kerajaan yang menanggung semua kos.

“Ia perlu ditaja oleh entiti swasta. Mendapatkan jumlah wang itu tidak sepatutnya menjadi masalah. Syarikat pertaruhan, tembakau atau arak dengan mudah boleh menaja kos berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Terdahulu, Gobind dilaporkan berkata RTM membuat persiapan diperlukan untuk menyiarkan kejohanan itu dan meneruskan peranannya sebagai saluran televisyen ditonton seluruh rakyat.

Ia melaporkan bahawa RTM akan membuat persiapan menyiarkan 27 perlawanan secara langsung dan 14 siaran tertangguh sepanjang kejohanan selama sebulan itu.

Tiga puluh dua negara bersaing pada kejohanan berprestij dunia itu yang akan dimainkan di beberapa tempat di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai depan. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment