Wednesday, 13 June 2018

Karim terkejut RM91 juta hilang daripada akaun FAS


KUCHING: Menteri Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendakwa bahawa beliau terkejut mendengar laporan RM91 juta hilang daripada akaun Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Menurut beliau, FAS yang sering menghadapi masalah kewangan pernah mengadakan beberapa perjumpaan dengannya dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentang masalah yang mereka hadapi dalam urusan persatuan itu.

“Terkejut juga bila dimaklumkan apabila FAS sampai ada duit sebanyak RM91 juta itu, walhal yang saya tahu sebelum ini, mereka menghadapi masalah kewangan.

“Sekiranya perkara macam itu benar-benar berlaku, harapan saya adalah untuk presidennya membuat laporan kepada pihak berpatutan supaya siasatan dijalankan agar tindakan sewajarnya diambil segera.

“Kerana kita tidak mahu persatuan-persatuan sukan kita ditadbir oleh mereka yang tidak amanah, FAS sebenarnya berdikari dan ini adalah satu-satu badan atau persatuan yang dari dahulu lagi, ditadbir oleh badan mereka sendiri,” katanya ketika ditemui selepas sidang media RWMF 2018 di sini semalam.

Bagaimanapun tegasnya, Kerajaan Sarawak cuma melihat dari jauh dan mengawasi mereka kerana persatuan tersebut bukan di bawah naungan Kerajaan Sarawak sepenuhnya.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak setiap tahun akan memberi peruntukan khas kepada FAS sebanyak RM3.5 juta.

Namun katanya, jumlah tersebut tidak mencukupi maka FAS juga mendapat dana dan sumbangan daripada syarikat-syarikat luar yang disenaraikan dalam bursa saham atau individu.

“Ia bagi membiayai pemain dan untuk mentadbir, sama ada ia mencapai sehingga 90 juta itu saya tidak tahu.

“Sebelum ini, ketua menteri ada memaklumkan kepada saya agar FAS distruktur semula supaya ia dapat diurus dengan baik.

“Saya sedang meneliti kerana saya juga tahu FAS tidak suka orang luar termasuk kami masuk campur.

“Selain itu, kami juga membiayai dana mereka tetapi akan sedaya upaya menasihati agar struktur pengurusan FAS berjalan dengan baik dan dapat memajukan sukan bola sepak di Sarawak,” tegasnya.

Ujar beliau sekiranya sesebuah badan itu tidak diuruskan dengan baik, selalunya kita tidak akan mendapat keputusan atau prestasi yang baik daripada para pemain dalam pertandingan yang disertai.

Katanya kerajaan tidak mahu mendengar pemain-pemain tidak dibayar gaji, tidak dibayar KWSP dan sebagainya.

Karim memberitahu bahawa beliau akan mengatur satu pertemuan dengan Presiden FAS Datuk Posa Majais untuk mendapatkan pengesahan dakwaan tersebut dan berbincang mengenai penyalahgunaan dana dan penstrukturan semula FAS. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment