KUCHING: Kehadiran para peguam daripada pelbagai latar belakang bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggambarkan perpaduan dalam kalangan rakyat demi hak Sarawak.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, malahan ia menunjukkan betapa prihatinnya rakyat Sarawak terutama peguam mengenai perkara itu.
“Pertemuan ini adalah perbincangan mesra dan ia menunjukkan perpaduan dalam kalangan peguam mengenai perkara ini.
“Ada antara mereka mengemukakan idea bagi menyelesaikan isu yang nampaknya Yang Amat Berhormat Ketua Menteri sendiri menerima pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) bersama Abang Johari di pejabatnya di sini, semalam.
Menurut Abdul Karim, peguam-peguam yang hadir juga terdiri daripada ahli parti pembangkang, termasuk Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How.
“Ia menggambarkan ikatan hubungan baik kita dan beliau (See) turut mengutarakan pandangannya dan ia diambil perhatian,” kata beliau.
Mengulas mengenai sama ada kerajaan negeri akan membuat permohonan balas balik kepada Petronas mengenai permohonan pengisytiharan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Abdul Karim berkata, ia diputuskan ketua menteri dan Peguam Negeri Sarawak.
Katanya, malahan para persatuan peguam bela akan mengadakan perbincangan mereka sendiri.
Sementara itu antara pengamal perundangan atau peguam yang hadir, Dominique Ng ketika ditemui berkata, Petronas sepatutnya memfailkan permohonan mereka di Sarawak dan bukannya di Kuala Lumpur.
“Petronas memfailkan permohonan di Kuala Lumpur yang ternyata ia tidak betul kerana isu berkenaan berkaitan dengan Sarawak, berkaitan sumber minyak Sarawak.
“Bagaimana mereka boleh memfailkan permohonan di Kuala Lumpur… di sini ternyata tempat mereka memfailkan permohonan adalah salah,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu.
Ng berkata, tindakan Petronas seolah-olah semua sumber minyak adalah milik mereka dan beliau mempersoalkan sejak bila Petronas menjadi kerajaan Malaysia.
“Maka itu saya amat menyokong apa yang dinyatakan Ketua Menteri bahawa kita tidak akan memberi biar seinci sekalipun, ia adalah hak Sarawak,” katanya. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment