KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak perlu memfailkan kes di Mahkamah Tinggi untuk menuntut hak ke atas minyak dan gas di negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sebaliknya, Abdul Karim yang juga mempunyai latar belakang sebagai peguam berkata, Petroliam National Berhad (Petronas) yang perlu berbuat demikian.
Jelas beliau, ini kerana kerajaan negeri mempunyai undang-undang khas yang terpakai iaitu Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO), di mana bagi Petronas, undang-undang itu adalah tidak terpakai.
“Jadi, kenapa pula kita patut membawa perkara ini ke mahkamah? Yang berasakan OMO tidak terpakai adalah Petronas, jadi mereka yang patut membawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak Laut di sini semalam.
Abdul Karim menambah, Petronas sekarang juga tertekan kerana bermula 1 Julai nanti, mereka terpaksa akur kepada peraturan untuk mendapatkan permit daripada Petroleum Sarawak (PETROS) - syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri jika mahu mengekstrak minyak dan gas dari perairan Sarawak.
Beliau menegaskan, jika syarikat minyak dan gas nasional itu meneruskan operasi mengekstrak minyak dan gas di Sarawak tanpa mendapatkan permit, maka kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kalau Petronas berbuat demikian, maka mereka telah melanggar undang-undang kita dan sudah pasti, ini akan membawa penalti,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen yang juga ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Abdul Karim menasihatkan kerajaan negeri untuk memfailkan kes di Mahkamah Tinggi sekiranya ia serius untuk menuntut semula haknya ke atas minyak dan gas di negeri ini.
“Saya fikir sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, anda perlu membawa perkara ini ke mahkamah untuk mengetahui sama ada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) atau OMO adalah yang terpakai di negeri ini.
“Pada masa ini, ia menyebabkan banyak ketidakpastian dalam industri minyak dan gas dan ini perlu dijelaskan,” katanya.
Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Ahli Parlimen Stampin menambah, tidak ada gunanya kerajaan negeri menyatakan bahawa ia mempunyai hak untuk aktiviti huluan minyak dan gas di luar mahkamah.
“Ia tidak memberi sebarang tujuan dan hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakpastian kepada industri,” katanya sambil menambah, ini juga akan menyebabkan rakyat Sarawak menderita di mana peluang pekerjaan dan perniagaan akan terjejas.
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan Petronas untuk memulakan prosiding bagi mendapatkan perisytiharan berhubung kuasa mengawal selia aktiviti huluan sumber minyak di Sarawak.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa perisytiharan yang dimohon Petronas tidak tertakluk di bawah peruntukan Artikel 4(4) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Ahmad, dalam penghakimannya, berkata sehubungan itu Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa eksklusif asal untuk mendengarnya kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Petronas memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding mengikut Artikel 4(4) Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan perisytiharan bahawa PDA adalah terpakai berhubung kuasa mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri Sarawak.
Ia memohon perisytiharan bahawa PDA digubal dengan sewajarnya oleh Parlimen dan akta itu secara tersiratnya OMO. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment