Wednesday 13 June 2018

GPS wujud kerana iklim politik, suasana saling memerlukan di antara Negeri-Persekutuan – Abdul Karim

June 12, 2018

KUCHING: Kewujudan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan platform baharu untuk memperkasa hubungan dua hala di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak berkata, perkembangan ini harus dilihat positif demi kelangsungan pembangunan negeri.

“Saya melihat keputusan ini akan dapat merapatkan hubungan dan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana kita (Sarawak) masih lagi memerlukan banyak program-program pembangunan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Bersama Media di Pusat Konvensyen Borneo di sini hari ini.

Kerajaan Negeri katanya, tidak boleh meminggirkan diri daripada Kerajaan Persekutuan, malah harus seiring dalam menjayakan Malaysia Baharu.

“Adalah lumrah dalam politik apabila kedua-dua kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri dipimpin dua parti berbeza, malah datang dari blok pembangkang dan pemerintah.

“Tidak bermakna pula kita tidak boleh bekerjasama dan bersatu hati.

“Yang berbeza hanyalah ideologi,” katanya lagi.

Kerana itu katanya, dalam menjayakan demokrasi menerusi sistem federalisme, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang kini dipimpin Pakatan Harapan (PH).

“Kerjasama seperti ini tidak salah demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negeri.

“Ditegaskan, kita tidak menyertai gabungan PH tetapi hanya menjalin kerjasama dengan mereka.

“Mereka memerlukan kita dan kita juga memerlukan mereka,” katanya lagi.

Kewujudan GPS dilihat telah mengubah lanskap politik negara, hingga membolehkan proses kerjasama di antara parti mampu dijalin secara terbuka biarpun dalam kalangan parti yang berbeza ideologi dan fahaman. –Sarawakvoice
  

No comments:

Post a Comment