Thursday, 7 November 2013

Utamakan pembangunan pendidikan anak — Karim


KOTA SAMARAHAN, Rabu — Ibu bapa dinasihat lebih mengutamakan pembangunan pendidikan anak-anak kerana pelaburan ke arah itu penting bagi memastikan keselesaan kehidupan mereka di masa akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Belia, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan, langkah itu berperanan membentuk modal insan yang dapat menjadi daya penggerak kepada pembangunan negeri ini.

Katanya, aspek pembangunan pendidikan tidak harus diabaikan atau diambil mudah. Ini kerana bidang tersebut kunci kepada hala tuju seseorang itu di masa akan datang.

"Pentingnya bagi ibu bapa menitikberatkan pendidikan anak-anak bermula di peringkat akar umbi memudahkan kelahiran modal insan berkualiti di masa akan datang," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mini Konvokesyen Tadika & Taska KEMAS N.14 Asajaya di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam. 

Hadir sama, Pegawai Daerah Samarahan, Mohd. Ainni Wahab, pegawai dan wakil pegawai dari Tadika.

Menurut Karim, secara tidak langsung pendekatan ke arah itu juga mampu merealisasi impian kerajaan untuk melihat kebanjiran lebih ramai tenaga kerja yang profesional.

"Golongan profesional merupakan penyambung kepada warisan untuk memajukan negeri serta negara ini dari pelbagai aspek masa akan datang," tegas beliau lagi.

Seramai 414 kanakkanak Tadika mewakili kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Asajaya hadir menerima hadiah serta sijil masing-masing semalam.

No comments:

Post a Comment