Friday 8 November 2013

Semangat kejiranan di Kuching dikategorikan baik - Abdul Karim

November 8, 2013

ABDUL Karim Rahman Hamzah (duduk, tengah) bersama para peserta selepas majlis penutupan Wacana Minda Jiranku, Sahabatku di Kuching, Sarawak, kelmarin.
KUCHING 8 Nov. - Semangat kejiranan di sekitar bandar raya ini baik di kawasan kampung tradisi mahupun perumahan moden masih boleh dikategorikan sebagai baik dan 'sihat'.

Menteri Muda Perumahan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan kajian bertajuk 'A Survey On Neighbourliness in Housing Estates in Kuching' yang dilakukan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak tahun lalu.

"Kajian ini mendapati tahap kejiranan di kampung-kampung dan kawasan perumahan moden di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) adalah memuaskan.

"Hasil kajian ini boleh dikatakan satu berita gembira, namun saya yakin ada banyak ruang yang masih boleh diperbaiki bagi memastikan nilai-nilai murni ini terus dipertahankan walaupun bandar-bandar besar seperti Kuching semakin pesat membangun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika penutupan Wacana Minda: Jiranku, Sahabatku anjuran Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, dinding penghalang yang wujud selama ini terutama di kawasan bandar boleh dihapuskan menerusi penubuhan organisasi khas seperti Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

"Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi semangat kejiranan seperti pekerjaan, etnik dan jenis rumah. Justeru, kita perlu merancang pelan tindakan sesuai untuk meningkatkan nilai-nilai murni ini atau sekurang-kurangnya mengekalkan tahap yang ada sekarang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia negeri berkata, kurangnya kemudahan riadah merupakan antara penyumbang kepada gejala mat rempit di kebanyakan lokasi di sekitar bandar raya ini.

"Sebagai orang muda, golongan ini sebenarnya mahu melakukan pelbagai aktiviti riadah dan bersifat santai, namun kemudahan untuk membolehkan mereka berbuat demikian masih kurang.

"Sebab itu di kawasan saya di Samarahan, kita berusaha memastikan setiap kampung mempunyai sekurang-kurangnya satu padang bola dan sebuah dewan serbaguna untuk kegunaan penduduk," katanya.
   

No comments:

Post a Comment