Thursday 21 November 2013

Projek RMM mendapat permintaan tinggi

November 21, 2013 

Setakat 6 November, 58,766 permohonan diterima untuk semua projek tersebut di seluruh negeri

KUCHING: Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Perbadanan Pembangunan Perumahan (PPP) telah mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat negeri ini.

Menurut Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, setakat 6 November lalu, sebanyak 58,766 permohonan telah diterima untuk semua projek tersebut di seluruh negeri.

“Permintaan paling tinggi diterima di Kuching iaitu 51 peratus (30,161 permohonan) diikuti Sibu – 13 peratus (7,703 permohonan), Samarahan – 12 peratus (7,163 permohonan), Bintulu – 5 peratus (2,996 permohonan), Miri dan Sarikei masing-ma-sing 4.6 peratus (2, 728 dan 2, 717 permohonan),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Namun demikian, Karim menjelaskan bahawa kerajaan pada masa ini tidak mempunyai rancangan bagi menyediakan lot-lot perumahan khas untuk belia di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya belia boleh memohon untuk dipertimbangkan di mana-mana skim perumahan yang sedia ada asalkan mereka menepati syarat yang ditetapkan.

Tambahnya, mereka (belia) juga digalakkan untuk membeli rumah yang disediakan pihak swasta.

Sementara itu, Karim berkata kerajaan kini telah me-rancang untuk melaksanakan pembangunan di Pusa.

Jelasnya, kajian pelan tapak tersebut dijangka siap awal tahun depan dan akan diajukan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Antara projek pembangunan yang dicadangkan ialah 100 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan kos rendah, 100 unit rumah kos sederhana, 20 unit rumah berkembar, pusat komersial, stesen minyak, surau, dewan dan banyak lagi,” katanya.

Namun demikian, Karim berkata tiada perancangan secara besar-besaran untuk pelaksanaan projek RMR di kawasan Kedup, Serian.

Akan tetapi, beliau berkata pihaknya sedia mempertimbangkan jika terdapat permohonan bagi RMR daripada rakyat di situ.
  

No comments:

Post a Comment