Wednesday 6 November 2013

Bumiputera beli rumah kos sederhana, rendah


KUCHING: Bumiputera di Sarawak lebih cenderung membeli rumah kos sederhana dan rendah, kata Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata kebanyakan rumah kos sederhana dan rendah yang terdapat di negeri ini dibeli oleh Bumiputera.

Bagaimanapun menurutnya, mungkin Bumiputera di Sarawak masih kurang membeli rumah mewah yang mencecah jutaan ringgit.

“Rumah berharga RM20,000 atau RM1 juta tidak menjadi persoalan, yang penting Bumiputera di Sarawak mampu membeli rumah.

“Kita boleh lihat ramai Bumiputera di negeri ini membeli rumah kos rendah dan sederhana,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung jumlah Bumiputera memiliki rumah masih rendah.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata, jumlah pembelian perumahan oleh Bumiputera masih rendah iaitu sebanyak 36.3 peratus atau RM18 bilion pada 2012.

Dalam pada itu Karim menjelaskan, sambutan rakyat Sarawak terhadap program Rumah Mesra Rakyat (RMR) amat menggalakkan.

Bagaimanapun menurutnya, permintaan tinggi rakyat negeri ini untuk program itu agak sukar dipenuhi kerana kuota diberikan terhad.

“Tidak banyak kuota rumah ini (RMR) diperuntukkan kepada Sarawak selain syarat kelayakan juga sukar,” ujarnya.

Karim berkata, syarat untuk memiliki rumah itu sedikit rumit kerana pemohon perlu memiliki tanah sendiri yang bersukat dan mempunyai geran.

“Keadaan ini menyebabkan ada antara rakyat Sarawak tidak layak kerana syarat ditetapkan rumit,” jelasnya sambil menambah program itu dikhaskan kepada pemohon berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Sim Kiang Chiok berkata, pendekatan holistik diperlukan untuk menentukan statistik sebenar jumlah Bumiputera membeli rumah di Sarawak.

Menurutnya, statistik itu harus mengambil kira jumlah Bumiputera yang membeli rumah di bandar dan luar bandar.

“Biasanya kira-kira 20 peratus unit rumah yang dibina pemaju ditempah atau dibeli oleh Bumiputera,” kata Sim.
  

No comments:

Post a Comment