Wednesday 10 January 2018

Sarawak mampu beri saingan pada Liga Perdana 2018: Karim

January 10, 2018

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah optimis skuad Sarawak mampu memberikan saingan dalam Liga Perdana 2018.

Meskipun menyedari saingan semakin kompetitif, beliau yakin dengan kemampuan pengendali baharu Sarawak FA, Ian Andrew Gillan mempunyai perancangan tersendiri mengemudi skuad Bujang Senang.

Bercakap pada sidang media mengenai Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 2018 di sini semalam, beliau percaya Sarawak mampu bangkit dan memberikan saingan dalam Liga Perdana 2018.

“Saya percaya persiapan rapi kini dilaksanakan barisan kejurulatihan diketuai Ian bagi memilih pemain-pemain yang bakal menyarung jersi Sarawak FA musim ini,” katanya.

Beliau menyifatkan kehadiran jurulatih dari Australia itu mampu membawa pembaharuan dan perubahan drastik kepada pasukan Ngap Sayot.

“Tidak dinafikan Liga Perdana dilihat menjadi medan perlawanan kompetitif, apapun Sarawak perlu berusaha lebih keras untuk memenangi lebih banyak perlawanan bagi memastikan kita (Sarawak) berada di kedudukan terbaik,” ujarnya.

Jelasnya, dengan kejayaan pasukan dan momentum kemenangan dipamerkan barisan pemain pasti menarik perhatian penyokong untuk terus hadir ke stadium setiap kali perlawanan di laman sendiri.

Pada masa sama, katanya ia dapat meningkatkan moral pemain-pemain ketika beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, Sarawak FA.

Sebagai persiapan mengharungi kempen Liga Malaysia 2018, Sarawak dijadualkan mengadakan perlawanan persahabatan pra-musim bersama tiga kelab di Semenanjung Malaysia bermula 13 Januari ini.

Sarawak akan berkunjung ke Stadium Arena Universiti Malaya (UM) menentang Felcra FC, UiTM FC dan Felda United sebelum kembali ke Bumi Kenyalang memulakan saingan Liga Perdana pada Februari depan. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment