Sunday, 21 January 2018

Sukan elemen penting pelancongan

January 21, 2018


BERTARUNG: Abdul Karim dan Devon bersiap sedia untuk memulakan perlawanan sambil diadili Matthew (tengah) malam kelmarin.
Inisiatif bawa lebih banyak penganjuran sukan bertaraf antarabangsa mampu promosi Sarawak

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan mempertingkat inisiatif membawa lebih banyak penganjuran sukan bertaraf antarabangsa ke Sarawak sebagai usaha mempromosikan industri pelancongan sukan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan sukan merupakan elemen penting dalam mempromosikan pelancongan sukan di negeri ini selain membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Penganjuran sukan seperti Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat tempatan apabila pengunjung datang bertanding berbelanja di sini.


TERBAIK: (Dari sembilan kiri) Abdul Karim, Devon dan Henry bersama jawatankuasa penganjur, pengadil, dif-dif kehormat dan wakil dari negara terlibat.BERTARUNG: Abdul Karim dan Devon bersiap sedia untuk memulakan perlawanan sambil diadili Matthew (tengah) malam kelmarin.
“Kerana itu kementerian saya cuba sedaya upaya membawa lebih banyak kejohanan sukan berskala besar ke Sarawak dari semasa ke semasa,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 2018 Edisi Ketiga di sini malam kelmarin.

Abdul Karim turut memuji inisiatif Persatuan Sukan Lengan Sarawak (SASA) dengan membawa sukan itu di Sarawak.

Menurutnya, sukan gusti lengan menampakkan potensi besar terus berkembang dan semakin meraih momentum kalangan peminat di sini meskipun baharu tiga tahun dianjurkan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada SASA diketuai Stephen Kee bersama ahliahli jawatankuasanya kerana berjaya menganjurkan sukan ini di Sarawak dan berharap mereka dapat menganjurkannya setiap tahun.

“Pertandingan tahun ini sangat unik kerana selain mengetengahkan sukan ini kepada orang ramai, penganjur juga menjadikannya landasan untuk beramal membantu masyarakat.

“Saya difahamkan, mereka menderma kepada enam NGO termasuk sekolah SMK St Teresa,” tambahnya.

Terdahulu, Stephen dalam ucapannya menyifatkan penganjuran edisi kali sebagai kejayaan selepas merekodkan jumlah penyertaan terbesar termasuk dari negara luar.

“Semasa kita mula-mula menganjurkan pertandingan ini pada 2016 hanya 93 ‘pullers’ mengambil bahagian.

Jumlah itu meningkat kepada 240 pada tahun lalu dan tahun ini jumlah peserta adalah seramai 515 peserta.

“Peningkatan jumlah penyertaan jelas menunjukkan pertandingan ini semakin mendapat perhatian bukan sahaja peserta tempatan malah dari luar negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan termasuk jabatan dan agensi-agensi kerajaan terbabit membantu menjayakan penganjuran edisi kali ini.

Perasmian pertandingan itu turut diserikan dengan penampilan istimewa jaguh gusti lengan dunia, Devon ‘No Limit’ Larratt berpakaian tradisional kaum Iban.

Beliau kemudian mengadakan perlawanan khas menentang Abdul Karim yang mendapat sorakan padu daripada peserta dan peminat pertandingan itu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Penasihat SASA, Dato Sri Teng Chi Lik dan Presiden SASA, Matthew Dominic. -UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment