Saturday, 16 February 2013

Generasi muda mesti dalami sejarah



SIBU: Generasi muda diminta mendalami sejarah pembentukan negara dari awal memandangkan ke-stabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara yang dikecapi hari ini tidak berlaku dalam sekelip mata.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Dr Stephen Rundi mengingatkan generasi muda agar tidak memperjudikan masa depan mereka semata-mata kerana ingin-kan perubahan.

“Saya amat menghargai pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu gene-rasi muda kini melihat dengan mendalam sejarah negara.

“Transformasi merupakan satu proses yang telah kita alami sejak lebih 50 tahun lepas dan ini tidak semestinya dilakukan dengan mengubah kerajaan yang memerintah, sebaliknya kita harus turut serta dalam program transformasi kerajaan ini secara aktif.

“Jangan pertaruhkan masa depan semata-mata kerana inginkan perubahan,” katanya ketika diminta memberi pandangan berhubung kenyataan Dr Mahathir yang menyeru generasi muda agar tidak terlalu ghairah mengubah kerajaan.

Dr Mahathir dipetik berkata terdapat sesetengah golongan muda mahu melihat perubahan kerajaan yang memerintah hanya kerana percaya dengan janji-janji yang dibuat oleh pihak pembangkang.

Menurut Dr Rundi, apa yang dikatakan oleh BN dilihat tidak memberi kesan kepada golongan ini kerana mereka percaya dengan perubahan kerajaan yang memerintah akan turut mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.
   
Sementara menurut Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah mengubah kerajaan yang memerintah tidak sama seperti menukar pakaian.

“Kita perlu membuat penilaian yang mendalam mengenai prestasi kerajaan yang ada serta melihat sama ada parti yang dicadangkan mengambil alih pentadbiran negara mempunyai keupayaan, kebolehan serta pengalaman mentadbir negara.

“Kestabilan politik tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Dalam negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, ia adalah lebih sukar,” katanya.

Menteri Muda Pembangunan Belia itu juga memberitahu, negara amat beruntung kerana mempunyai pemimpin yang sederhana, berfikiran jauh serta mampu membawa Malaysia menjadi salah sebuah negara yang pesat membangun.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan golongan muda terutama pengundi muda agar tidak memperjudi masa depan negara serta terlalu mengikut emosi dan ghairah untuk mengubah kerajaan yang ada.

“Beri Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak peluang membukti-kan dirinya. Sejak menjadi Perdana Menteri, beliau telah melakukan pelbagai program transformasi yang membantu negara menjadi tempat yang lebih baik untuk semua,” jelas Abdul Karim.

No comments:

Post a Comment