Sunday, 30 November 2014

Pesta Ambal dianjur pada skala lebih besar tahun depan


ASAJAYA: Pesta Ambal yang merupakan acara ikonik di daerah ini dirancang untuk dianjurkan pada skala yang lebih besar tahun depan.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pesta itu mampu mempertingkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Pesta Ambal ini sudah menjadi sinonim bagi daerah Asajaya, justeru kita merancang menganjurkannya dengan skala yang lebih besar bagi menarik lebih ramai pengunjung khususnya orang luar datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Pesta Ambal 2014 di pekarangan tempat letak kereta Bandar Baharu Asajaya di sini semalam.

Pesta yang berlangsung dua hari itu turut menyediakan ruang pameran produk berasaskan ambal, gerai jualan, demontrasi masakan ambal dan banyak lagi aktiviti menarik lain diadakan.

Malah, pesta itu turut disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma kepada penduduk setempat.

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, makanan laut popular yang bermusim itu juga dapat menjana pendapatan pencari ambal kerana permintaan yang tinggi.

“Kita mahu melihat ekonomi masyarakat di sini dapat dimajukan terutama golongan perniaga dengan kehadiran lebih ramai orang berkunjung ke sini,” tambahnya.

Menyentuh mengenai projek pembangunan di kawasan itu, Karim memberitahu bahawa pembinaan jambatan baharu di Sungai Samarahan akan bermula tahun dwpan.

Jelasnya, pada masa kini proses penggantian tanah penduduk yang terjejas dalam projek pembinaan jambatan itu sedang dijalankan.

“Apabila siapnya jambatan ini nanti sudah pasti ia akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan Asajaya khasnya sekali gus melancarkan lagi program pembangunan di sini,” ujarnya.

Turut hadir Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi dan tetamu kehormat lain.
  

No comments:

Post a Comment