Saturday, 15 November 2014

Bantu bangun rumah mampu milik


INTERAKTIF: Abdul Karim (kanan) mendengar penerangan daripada Sim (dua kanan) berhubung salah satu projek yang dipamerkan pada jerayawara itu semalam sambil disaksikan ahli-ahli SHEDA lain.

KUCHING: Lebih ramai pemaju perumahan perlu tampil membantu kerajaan membangunkan rumah mampu milik di negeri ini.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tanggungjawab menyediakan rumah mampu milik tidak harus diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan, sebaliknya wajar dibantu oleh pemaju-pemaju swasta.

“Tanggungjawab membina rumah mampu milik ini bukan sahaja digalas oleh kerajaan, namun pemaju-pemaju swasta yang juga terdiri daripada ahli-ahli SHEDA (Persatuan Perumahan dan Pemaju Hartanah Sarawak),” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Perumahan dan Hartanah di Plaza Merdeka di sini, semalam.

Abdul Karim berkata, antara kawasan dibangunkan oleh kerajaan bagi tujuan membina rumah mampu milik adalah seperti di Batu Gong, Kuching, Lambir (Miri), Kemena (Bintulu) dan Rantau Panjang (Sibu).

Hanya apabila lebih banyak rumah mampu milik diwujudkan kelak, katanya, masalah rumah setinggan yang berpunca daripada migrasi luar bandar ke bandar dapat diselesaikan, sekali gus mencapai sasaran sifar setinggan di Sarawak.

“Kerajaan turut menyewa-kan rumah kepada penduduk setinggan pada kadar RM150 sebulan dan bercadang untuk menjual rumah itu kepada mereka pada harga sangat rendah,” katanya.

Mengulas mengenai pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei mengenai nisbah kerajaan dan swasta dalam membangunkan rumah mampu milik pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, beliau memberitahu, angka sebenar belum dapat dikenal pasti.

“Kita belum dapat membandingkan diri dengan Singapura, di mana 81 peratus rumah mampu milik di negara itu dibina oleh kerajaan, kerana saiz negara itu adalah jauh lebih kecil daripada Sarawak.

“Mungkin dalam masa beberapa tahun lagi kita akan dapat menyaksikan lebih banyak rumah mampu milik dibina kerajaan dan sektor swasta kerana dalam soal ini, kerajaan tidak dapat bersen-dirian,” ujarnya.

Abdul Karim pada masa yang sama turut mengingatkan pemaju-pemaju perumahan Peraturan-Peraturan (Kawalan dan Perlesenan) Pemaju Perumahan berkuat kuasa wajar dipatuhi.

“Selain melindungi pengguna, kerajaan bagaimanapun faham, pemaju memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu itu.

“Kita akan memberi kelonggaran dan sedikit masa untuk mereka mengadaptasi peraturan baharu itu,” kata-nya sambil menambah ia akan memastikan pemaju membina lebih banyak rumah berkualiti kepada pengguna.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung SHEDA Sim Kiang Chiok berkata, pasaran hartanah di Sarawak dijangka kekal aktif dalam permintaan bagi unit kediaman dan komersil meskipun kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) masih belum menentu.

“Harga hartanah dijangka terus meningkat berikutan inflasi tahunan, penghijrahan luar bandar ke bandar dan pertumbuhan organik penduduk.

“Oleh itu, bakal pembeli perlu memilih untuk membeli rumah lebih awal dan Jerayawara Rumah dan Hartanah SHEDA adalah lokasi sehenti untuk mencari rumah atau pelaburan diingini,” katanya.

Jerayawara itu menawarkan peluang bagi pempamer serta ahli-ahli dan juga orang ramai untuk melihat pilihan-pilihan rumah dan hartanah sedia ada di bawah satu bumbung.

Jerayawara Perumahan dan Hartanah seterusnya akan diadakan di Wisma Sanyan Sibu dari 12 hingga 14 Disember depan.
  

No comments:

Post a Comment