Friday, 14 November 2014

Harga rumah tidak semestinya dipengaruhi cukai


Kenaikan harga lebih ditentukan penawaran dalam pasaran, lagipun jualan rumah dikecuali GST

KUCHING: Kenaikan harga rumah tidak semata-mata dipengaruhi cukai tetapi ia lebih ditentukan oleh penawaran dalam pasaran.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, apa yang berlaku sekarang juga ialah jumlah penawaran lebih tinggi daripada jumlah stok rumah yang dapat dibekalkan.

Selain itu, katanya dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015, ia dilihat tidak akan membebankan pembeli rumah kerana jualan rumah kediaman adalah dikecualikan GST.

“Begitu juga dengan pinjaman ke atas pembelian rumah kediaman juga dikecualikan daripada dikenakan GST kerana semua jenis kewangan yang disediakan oleh institusi kewangan adalah perkhidmatan yang dikecualikan GST,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan David Wong (DAP-Pelawan) yang bertanyakan bagaimana kerajaan memastikan pelaksanaan GST tidak akan memberi bebanan kepada pembeli rumah pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Abdul Karim mengakui mungkin dari segi pinjaman dan jualan kediaman adalah dikecualikan GST tetapi sebahagian daripada bahan mentah untuk membina rumah mungkin dikenakan cukai.

Namun katanya, GST yang dikenakan hanya enam peratus dan pemaju perumahan boleh menebus balik cukai dikenakan itu daripada agensi bertanggungjawab.

“Kita tidak dapat mengetahui sama ada ia akan melonjakkan harga rumah atau tidak, tetapi ingin saya memaklumkan selain cukai, harga rumah lebih banyak ditentukan oleh penawaran,” tegasnya.

Beliau berkata untuk memberikan penerangan lanjut mengenai pelaksanaan GST khususnya dalam sektor perumahan, Kementerian Perumahan akan menganjurkan Seminar Khas GST untuk para pemaju sektor perumahan pada Januari 2015.

Menjawab pertanyaan Ripin Lamat (BN-Lambir), Abdul Karim berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah bersepadu untuk menangani isu kenaikan harga atau kos rumah di negeri ini.

Kerajaan malahan telah melaksanakan dasar untuk mengawal harga bagi dua kategori rumah yang dibangunkan oleh pemaju swasta iaitu rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah, ujarnya.

“Ini untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki rumah mereka sendiri.

“Kerajaan negeri telah menetapkan siling harga rumah kos rendah pada RM50,400 bagi unit tengah dan RM59,220 bagi unit tepi,” katanya.



No comments:

Post a Comment