Tuesday 10 September 2013

Memartabatkan sukan muaythai

September 10, 2013

KEMENANGAN: Karim (dua kanan) menyampaikan Piala Pusingan YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada peninju Kelab Muaythai SS Fighters Kuching, SS Q-Eikkasit (tengah) di Kuching, malam Ahad lalu.

BERPRESTIJ: Karim (lima kanan) dan Jumaat (empat kanan) menjulang Piala Pusingan YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menjadi rebutan peninju pada Kejohanan Muaythai Kuching di Stadium Perpaduan, Ahad lalu. — Gambar Tan Song Wei

PERLAWANAN SENGIT: SS Q-Eikkasit (kanan) mengelak tendangan daripada Arthur ketika pertarungan sengit merebut Piala Pusingan YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Kejohanan Muaythai Kuching yang berlangsung di Stadium Perpaduan malam Ahad lalu. — Gambar Muhd Rais Sanusi
Persatuan Muaythai Bahagian Kuching harap kerajaan mewujudkan sebuah pusat muaythai

KUCHING: Persatuan Muaythai Bahagian Kuching (PMBK) menaruh harapan tinggi kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pusat muaythai di bandar raya ini pada masa akan datang.

Harapan tersebut dinyatakan oleh presidennya, Jumaat Ibrahim susulan perkembangan memberangsangkan sukan muaythai di kalangan penggiat sukan tinju itu di negeri ini.

Menurut Jumaat, meskipun baharu sahaja diperkenalkan namun Sarawak membuktikan bahawa sukan ini berpotensi untuk dimajukan selepas kejayaan memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Lumpur Jun lalu.

“Meskipun sukan muaythai masih baharu di Kuching dan Sarawak amnya, namun kita telah membuktikan bahawa sukan ini berpotensi untuk dipromosikan di negeri ini.

“Saya bagi pihak penggiat sukan muaythai berharap agar sukan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak, khususnya rakyat Sarawak untuk membolehkannya diangkat ke tahap yang lebih berprestij pada masa akan datang,” katanya pada penutupan Kejohanan Muaythai Kuching Piala YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Perpaduan di sini malam Ahad lalu.

Selain mewujudkan pusat muaythai, Jumaat juga berharap agar acara muaythai akan dimasukkan dalam acara Festival Kuching pada tahun akan datang.

Menerusi penyertaan dalam Festival Kuching, ia bukan sahaja mampu mempromosikan sukan ini kepada masyarakat umum malah berupaya memperkembang sukan ini di Sarawak amnya di Bandaraya Kuching.

Bercakap mengenai kejohanan tersebut, ia julung kalinya dianjurkan di bandar raya ini oleh PMBK dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak.

Majlis penutupan kejohanan tersebut disempurnakan oleh Menteri Muda Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Karim yang bangga dengan kejayaan penganjuran kejohanan itu berharap kejohanan ini akan diteruskan dan diperhebatkan pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya kepada persatuan terbabit dalam usaha memajukan dan memartabatkan sukan muaythai di negeri ini,” katanya
  

No comments:

Post a Comment