KUCHING: Golongan profesional disyorkan untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan atau beriadah di samping menjalan kerja harian mereka.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia kerana golongan profesional yang lebih sihat dan berdaya saing mampu membawa kebaikan kepada rakyat negeri ini.
“Jangan memberi tumpuan hanya kepada kerja sahaja, masuk dan keluar pejabat dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang tetapi kita juga harus serius dalam sukan rekreasi yang kita pilih.
“Golongan profesional yang aktif, sihat dan berdaya saing apabila bersukan juga boleh diterjemahkan dan diguna pakai di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutupan Inter Profesional Game (IPG) anjuran Ultimate Profesional Centre Sdn Bhd yang dihadiri Pengerusinya Albert Nichol di sini, malam Selasa lalu.
Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan menegaskan, ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melihat golongan profesional bukan sahaja menjalankan kerja dengan baik tetapi beriadah dengan baik, yang akhirnya akan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri.
Mengulas mengenai IPG yang diadakan kata beliau, ia menjadi platform untuk mencungkil lebih ramai bakat yang ada di kalangan profesional.
“Memandangkan sukan seterusnya akan diadakan dua tahun dari sekarang, saya menasihatkan kepada anda semua supaya lebih kerap berlatih bermain golf, badminton, futsal, dart dan boling,” ujarnya.
Sementara itu Albert dalam ucapannya berkata, IPG satu platform di mana ahli-ahli pelbagai profesion melalui penyertaan mereka akan dapat bersama-sama memupuk persahabatan dan semangat kesukanan.
“Objektif IPG adalah pertandingan persahabatan di kalangan ahli daripada 11 badan profesional.
“Kami berharap melalui aktiviti sukan ini, ia mampu mewujudkan kerjasama serta komunikasi yang baik di kalangan 11 badan profesional daripada pelbagai disiplin melalui penyertaan mereka dalam pertandingan sukan,” katanya.
Albert berkata pada tahun ini UPC menganjurkan lima pertandingan sukan iaitu badminton, dart, boling, futsal dan golf.
Pertandingan yang diadakan menyaksikan juara keseluruhan iaitu bagi Piala Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai dirangkul bersama Advocates Assocation of Sarawak (AAS) dan Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak.
No comments:
Post a Comment