Wednesday 4 September 2013

Parti-parti baharu disaran tidak kelirukan rakyat

 
“Kalau mereka berminat maka mereka harus memohon untuk menjadi parti komponen BN atau tidak perlu langsung menubuhkan parti baharu semata-mata untuk memberitahu bahawa mereka adalah mesra BN.” Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah
KUCHING: Parti-parti politik yang baharu ditubuhkan disaran agar tidak mengelirukan orang ramai mengenai misi dan visi perjuangan politik mereka.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak merangkap ADUN Kemena Datuk Dr Stephen Rundi Utom, sama ada misi atau visi perjuangan mereka mesra BN atau tidak, mereka harus menyatakan dengan jelas mengenai hala tuju parti masing-masing.

“Persoalannya bukan sama ada mereka tetap bersama atau telah meninggalkan BN sebelum ini tetapi PBDS Baru merupakan parti politik baharu yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini.

“Oleh itu, mereka harus menjelaskan secara terang arah tuju perjuangan mereka sama ada mereka mesra BN atau sebaliknya kerana mereka hanya merupakan parti politik yang baharu didaftarkan,” ujar Rundi ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata demikian setelah diminta memberi pendapat mengenai kenyataan Pengerusi sementara Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) Louis Jarau, yang memberitahu bahawa PBDS lama serta ahli-ahlinya tidak pernah meninggalkan BN seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi BN Negeri me-rangkap ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dari sudut guaman PBDS Baru merupakan sebuah parti baharu walaupun terdapat perkataan PBDS di hadapannya dan bukannya parti yang lama seperti yang disangkakan.

“PBDS yang lama sudah terkubur setelah pendaftarannya dibatalkan oleh ROS sebelum ini. Maka tidak perlulah bagi sesiapa untuk berusaha memutarbelitkan fakta dan keadaan dengan mengatakan bahawa PBDS Baru merupakan parti komponen BN,” ujar Abdul Karim.
Menurutnya, sekiranya PBDS Baru berminat untuk bergabung sebagai parti komponen BN, maka mereka harus memohon secara rasmi untuk tujuan tersebut.

“Kalau mereka berminat maka mereka harus memohon untuk menjadi parti komponen BN atau tidak perlu langsung menubuhkan parti baharu semata-mata untuk memberitahu bahawa mereka adalah mesra BN,” kata Abdul Karim.

Selain PBDS Baru, empat parti politik lain yang diluluskan penubuhannya oleh ROS baru-baru ini ialah Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) dan Parti Gabungan Jaksa Pendamai (Peace Party-Sarawak).
 

No comments:

Post a Comment