Monday 11 April 2011

Abdul Karim rancang beberapa rancangan keselesaan untuk penduduk Kampung Baru


ASAJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Asajaya Abdul Karim Hamzah merancang beberapa rancangan keselesaan untuk penduduk Kampung Baru di sini.

Beliau menyuarakan hasrat untuk melakukan pembesaran kampung itu bagi golongan belia kampung agar hidup lebih selesa, terancang dan bersih.

“Pembesaran kampung akan dilakukan dalam tempoh terdekat untuk golongan belia Kampung Baru bagi mengadakan petempatan terancang yang bersih dan selesa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sembang Belia Bersama YB malam kelmarin.

Abdul Karim menyatakan bahawa kampung terbabit mempunyai kependudukan yang padat, justeru persekitaran yang kurang menyenangkan akan memudaratkan kesihatan penduduk.

“Kampung ini mempunyai sejarah jangkitan denggi dan chikungunya disebabkan takungan tin-tin dan sampah yang bertaburan di sana sini, ujarnya malam kelmarin.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sistem perparitan yang kurang teratur di situ.

Pada masa yang sama, kampung yang terletak di kawasan pesat membangun dan dahulunya tidak mempunyai jalan perhubungan kini mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan jalan raya.

Abdul Karim juga menyatakan bahawa pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kampung Baru dengan Kampung Tambirat di seberang sungai bakal memudahkan aktiviti seharian penduduk.

“Terletak di kawasan membangun, kawasan di sebelah kampung akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya.

Justeru, beliau menegah penduduk kampung daripada menjual tanah yang dimiliki mereka kerana dijangka harga tanah di kawasan itu bakal melambung naik.

Beliau turut menasihati penduduk agar menurunkan tanah yang dimiliki sekarang kepada anak dan cucu sebagai harta warisan.

“Jangan kita berputih mata apabila pembangunan masuk ke N.14 Asajaya nanti akibat menjual tanah kepada orang luar, “ katanya.

Beliau memberi peruntukan RM50,000 kepada Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Asajaya untuk menambah baik kemudahan dewan serba guna di kampung itu.

Abdul Karim tidak mahu waktu berkempen tegang kerana beliau percaya penduduk Kampung Baru tahu parti mana yang harus disokong dan banyak membawa perubahan setempat.

“Biar di kampung-kampung lain sibuk berpesta kempen tetapi kita di sini merapatkan hubungan dan silaturahim antara blok-blok,” katanya.
   

No comments:

Post a Comment