Thursday 23 April 2020

Tiada sebarang penganjuran acara pelancongan berskala besar tahun ini


Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan rakan Media di Astro Awani kerana sudi menemuramah mengenai keputusan Kerajaan Negeri Sarawak dimana tiada sebarang penganjuran acara pelancongan berskala besar diadakan pada tahun ini.

Sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak, keputusan ini ialah bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19 terutama melibatkan jumlah pengunjung yang ramai.

Malah, walaupun pada satu ketika negara kita merekodkan kes sifar COVID-19, ia bukan bererti kita boleh terus menjayakan sesuatu acara pelancongan. Masih terdapat risiko dan berbahaya.


Kita turut menyedari kesannya kepada industri pelancongan Sarawak namun langkah ini adalah wajar diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai diutamakan. Walau bagaimanapun, saya berharap agar pemain industri tempatan dapat terus bertahan dalam memastikan sektor pelancongan negeri mampu berkembang seperti sebelum ini.
Harapan saya kepada mereka yang berada dalam industri ini untuk bersabar dan dapat kekal dengan apa yang berlaku kerana akan ada jalan pengakhirannya. Kita perlu ingat bahawa penularan wabak ini bukan hanya melibatkan sektor pelancongan tetapi semua sektor lain.

Sementara itu, saya turut menyatakan bahawa sektor pelancongan tidak akan melonjak naik secara mendadak dalam tempoh yang singkat pasca COVID-19.
Ini kerana, pandemik itu membeirkan impak yang besar kepada semua sektor bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.


Kalau kita nak mengharap industri pelancongan terus melonjak (pasca COVID-19) ianya tidak akan berlaku dan apa yang penting kita fokus kepada pelancongan domestik dahulu. Kementerian saya akan turut berbincang dengan pemain industri terjejas bagi mendapatkan maklum balas termasuk mengumumkan pelan rangsangan pelancongan bagi memperkukuh industri itu.
Pada 13 Mac lalu, perkara ini pun telah diumumkan secara rasmi disidang akhbar yang diadakan di pejabat saya dan terima kasih sekali lagi diucapkan kepada rakan rakan media yang membuat liputan dimajlis itu.





No comments:

Post a Comment