Friday 5 April 2019

PH tidak ikhlas mengembalikan hak Sarawak

April 05, 2019

KUCHING: Kerajaan pusat yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) tidak ikhlas untuk mengembalikan hak Sarawak dan Sabah mengikut semangat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu ditegaskan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

"Secara peribadi saya amat kecewa dengan RUU ini, ketika kali pertama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak, beliau tahu akan prinsip 'rakan kongsi' yang mana 'Borneo States' dan 'States of Malaya' merupakan entiti yang menubuhkan Persekutuan Malaysia ketika sambutan Hari Malaysia di Sabah tahun lepas.


"Enam bulan berlalu, Peguam Negara telah meneliti perkara ini tetapi tiada keikhlasan untuk perkara ini, malah draf RUU yang dibentangkan itu hanya diberikan kepada semua Ahli Parlimen (MP) 11 jam sebelum ia dibentangkan, bagaimana MP hendak mempersiapkan perbahasan mereka, ini menunjukkan ketidakikhlasan sebenar kerajaan PH," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Tiga Festival Satu Destinasi Sarawak di Cinema MBO, The Spring di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), banyak hak telah terhakis, rakyat Sarawak dan Sabah tidak gembira dan ia jelas kelihatan.

"Jadi jangan layan kami sebagai 'rakan kelas kedua' dalam penubuhan Malaysia, jika anda mahu perbahasan yang baik mestilah membuat perbincangan yang betul di bawah MA63 termasuk Perlembagaan Malaysia.

"Apa-apa perkara yang memberi kesan kepada hak Sabah dan Sarawak ia mesti dirujuk kepada kedua-dua negeri," tegasnya lagi.

Jelasnya, kerajaan pusat seharusnya datang dan berbincang bersama kerajaan Sabah dan Sarawak tentang kandungan pindaan yang hendak dilakukan sebelum ia dibentangkan.

"Perjelaskan dahulu apa yang hendak dipindakan dan sebagainya, RUU ini (yang dibacakan kali pertama semalam) semenangnya tidak memenuhi semangat apa yang kita telah meterai pada 1963 (MA63)," katanya.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii yang menyokong RUU tersebut.

"Jika anda bertindak seperti itu kamu menjadi pengkhianat kepada negeri anda, kamu bukan milik Sarawak jika anda menyatakan seperti itu.

"Kamu mesti mempunyai hati cintakan Sarawak sama ada kamu Cina, Dayak, Melayu dan sebagainya, kita mahu lihat semua rakyat Sarawak tidak kira dari PH, DAP, GPS dan sebagainya kita semua harus bersatu padu jika ia memberi kesan dan melibatkan hak negeri kita," ujarnya.

Menurut Abdul Karim lagi, sebab itu MP GPS menolak pindaan ini kerana mahu ia dirujuk kepada Jawatankuasa Perunding bagi meneliti kandungan pindaan tersebut.

"Biarlah Sabah dan Sarawak meneliti perkara yang digariskan dalam RUU ini sama ada ia benar-benar mengikut MA63 atau tidak, jika tidak kita perlu lupakannya.

"Kita bukannya hendak keluar Malaysia, kita sayang Malaysia, kita masih berdiri menyanyikan lagu NegaraKu setiap prgoram kita nyanyikan lagi kebangsaan, ini menunjukkan keikhlasan kita bersama Malaysia tetapi jangan layan kami seperti ini," katanya. -UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment