Saturday, 6 April 2019

Pakej istimewa untuk saksikan tiga festival muzik Sarawak

April 06, 2019

JOM SERTAI KAMI: Abdul Karim (empat kiri) ditemani (dari tiga kiri) Abdul Wahab dan Sharzede serta tetamu kehormat lain memperkenalkan Tiga Festival Satu Destinasi Sarawak.
KUCHING: Sarawak menjadi destinasi penganjuran tiga festival muzik antarabangsa yang akan berlangsung pada Julai tahun ini dengan menawarkan pakej dan harga tiket istimewa.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia buat julung kalinya tawaran kepada pencinta muzik di seluruh dunia.

Tiga festival antarabangsa itu, Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF2019) Ke-22, Festival ‘Borneo Jazz Music 2019 Ke-14 dan Rainforest Fringe Festival.

2019 Calendar of Tourism Events

“Kita menawarkan harga istimewa untuk ‘bundle’ pas satu hari hanya RM200 untuk pas masuk satu hari ke RWMF dan Borneo Jazz Music.

“Untuk ‘bundle’ pas tiga hari hanya dijual pada harga RM550 dan oleh itu, ia memberi penjimatan yang hebat kepada pencinta muzik untuk menyaksikan festival-festival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tiga Festival Satu Destinasi Sarawak di MBO Cinema, tHe Spring di sini semalam.

Malah, Abdul Karim berkata, pihaknya melalui Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) turut menawarkan pakej menarik bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pencinta muzik antarabangsa dan tempatan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mengetahui lanjut tentang tiket dan pakej yang ditawarkan boleh melayari laman sesawang http://rwmf.net untuk laman rasmi RWMF, http://sarawaktourism.com/event/borneo-jazz-festival untuk Borneo Jazz Music.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi STB di talian 082-423600 atau e-mel kepada stb@sarawaktourism.com atau datang ke pejabat STB di Tingkat Plaza Aurora Jalan Macdougall, Kuching,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang festival itu, beliau berkata, RWMF 2019 akan berlangsung di Kampung Budaya pada 12 hingga 14 Julai nanti, manakala Borneo Jazz Music akan diadakan dari 19 hingga 21 Julai 2019 di Coco Cabana, Miri.

Sementara itu, untuk Rainforest Fringe Festival pula, jelasnya kemasukan adalah percuma yang akan diadakan di bandar raya Kuching pada 5 hingga 12 Julai 2019.

Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berharap kerja-kerja menaik taraf Kampung Budaya Sarawak yang bernilai RM12 juta dapat dijalankan dengan kadar segera.

Menurutnya, ia bagi membolehkan pengunjung yang datang terutamanya pelancong asing dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa di situ kelak.

“Khasnya dari segi sistem perhubungan atau Internet, kita akan pastikan masalah ini dapat diatasi dengan segera,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi STB Datuk Abdul Wahab Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh dan tetamu kehormat lain. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment